Amaran keras buat penganjur George Town Festival 2024

Persembahan boria merupakan antara kebudayaan warisan Melayu Pulau Pinang. (GAMBAR HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Amaran keras kepada Penganjur George Town Festival 2024, jangan sesekali cuba mengabaikan atau melenyapkan budaya Melayu.”

Itu penegasan Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong, Anas Soffy Abd. Wahid dalam satu kenyataan, sambil menyatakan bahawa kelangsungan bangsa Melayu adalah kunci kepada kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni, maju, dan dihormati di persada dunia.

Beliau mengulas mengenai klip video Penganjur George Town Festival 2024 yang tular tetapi kemudian dipadamkan, selepas meraih kritikan hebat kerana hanya memaparkan kebudayaan kaum Cina dan India Pulau Pinang.

“George Town Festival 2024 bertujuan menggalakkan industri pelancongan negeri, sekali gus mempamerkan kepelbagaian budaya yang ada di Pulau Pinang kepada masyarakat luar. 

- Advertisement -

“Malangnya budaya dan kesenian kaum Melayu yang merupakan majoriti penduduk di Pulau Pinang cuba dilenyapkan. 

“Budaya Melayu merupakan warisan yang kaya dan unik, menggambarkan identiti dan jati diri masyarakat Melayu,” katanya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.

Anas Soffy Abd. Wahid

Menurut beliau, identiti sesuatu bangsa adalah cerminan jati diri dan maruah diri. Identiti orang melayu tercermin melalui bahasa, kepercayaan agama Islam, adat resam dan seni budaya. 

“Pengabaian terhadap elemen-elemen ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan prasangka antara kaum.

“Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah asas kepada kestabilan sebuah negeri.

Oleh itu, ujar Anas Soffy, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mengambil tindakan keras dan tegas kepada pihak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan perasaan tidak puas hati dan prasangka antara kaum. 

“Mutakhir ini, muncul pelbagai kejadian yang mengguris hati umat Melayu Islam di Malaysia.

“Agama Islam, hak keistimewaan bumiputera dan budaya orang Melayu jangan diganggu. 

“Kesabaran orang Melayu ada hadnya, dan orang Melayu dah muak dengan sekadar permohonan maaf,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -