
KUALA LUMPUR: Pihak Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air dengan kerjasama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) digesa mengkaji keperluan untuk membangunkan undang-undang khusus untuk menangani isu pembuangan dan pencemaran plastik.
Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, ia di samping usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai tidak terbiodegradasi secara berfasa ke arah mempromosi alternatif dan bahan mampan dalam pengeluaran plastik selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030.
“Ini mengambil kira pendekatan yang diambil oleh negara-negara jiran supaya isu pencemaran plastik ini dapat ditangani secara bersama di peringkat ASEAN.
“Soalan kedua saya sejauh manakah kajian juga dijalankan dengan kerjasama dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terhadap kesan mikroplastik terhadap kesihatan manusia akibat pendedahan kepada mikroplastik,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata sebahagiannya sudah dijawab dan komitmen kerajaan ialah untuk sasarannya bahawa tidak ada lagi beg plastik digunakan menjelang 2025.
Tambahnya, kesedaran dari segi amalan baik dan sebagainya akan terus diberikan kepada rakyat kerana tidak akan memberi kesan apabila hanya ada dasar dan perundangan sahaja tetapi tidak disambut oleh rakyat.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan menyatakan microplastik merupakan bahan pencemar baharu yang menjadi ancaman kepada sumber dan bekalan air. Sejauh manakah usaha yang telah diambil oleh Kementerian untuk mengetengahkan isu ini di kalangan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















