GERAHAM dukung agenda makruf kerajaan negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 63 pertubuhan telah membentuk ‘Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Makruf Hancur Aktiviti Maksiat’ atau singkatannya GERAHAM menerusi satu perjumpaan khas di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

- Advertisement -

Mereka bersepakat berdiri teguh serta menyokong penuh tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakan penutupan premis judi yang berkuat kuasa 1 Januari tahun lalu.

Pada perjumpaan itu, memorandum pendirian serta sokongan mereka terhadap kerajaan negeri diserahkan kepada Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Ustaz Mohd Azam Abd Aziz oleh Pengerusi GERAHAM, Ustaz Nor Hakimi Abdul Halim.

Antara kandungan memorandum tersebut adalah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan segala tindakan dan usaha mensejahtera serta memakmurkan negeri Kedah.

Antaranya termasuk dasar penutupan premis perjudian demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat, selain turut bersedia membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar demi menjaga keutuhan sosial dan nilai-nilai murni rakyat Kedah.

Dalam masa yang sama, GERAHAM membantah mana-mana pihak yang berusaha sama ada secara langsung atau secara bersekutu untuk menentang kerja-kerja baik yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

GERAHAM juga akan sentiasa memberi komitmen berterusan untuk menggemblengkan seluruh rakyat Kedah tanpa sempadan politik, bangsa dan agama bagi menyokong segala kerja dan usaha tindakan merealisasikan ‘The Greater Kedah’.

Pada perjumpaan berlangsung hampir dua jam itu, GERAHAM turut bersetuju mengadakan perhimpunan aman bagi menyokong dasar bebas judi tersebut yang dirancang pada 26 Julai depan di dataran Masjid Zahir jam 2.00 petang. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -