Keadaan jalan raya di Pulau Pinang tanda mutu kerja teruk – CAP

- Advertisement -

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya memandangkan banyak jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata yang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, dalam tinjauan pihaknya baru-baru ini, didapati antara jalan utama yang rosak adalah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir, dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan.

- Advertisement -

“Dengan peningkatan kenderaan bermotor yang banyak terutamanya kereta persendirian di jalan raya Pulau Pinang dalam tempoh sepuluh tahun, adalah amat penting bagi jalan raya ini diselenggara dengan baik.

“Kontraktor yang ditugaskan untuk membina, menyenggara dan mengekalkan jalan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerja jalan yang teruk yang mengakibatkan jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata.

“Berulangnya kejadian jalan yang lubang dan permukaan yang tidak rata hanya menunjukkan kerja yang dijalankan adalah itu adalah amat teruk,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook CAP.

Tambah beliau, Ia perlu dijadikan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk menjalankan pemeriksaan secara mingguan di semua jalan raya. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ujar beliau,  juga perlu mencontohi negara jiran kita, Singapura, dalam memastikan jalan raya mereka berada dalam keadaan terbaik.

“Jalan yang rosak adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya jika Pulau Pinang menjangkakan kemasukan pelancong yang lebih besar semasa musim cuti atau perayaan,” hujahnya lagi.

Beliau menegaskan, langkah-langkah pembaikan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya kita tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. 

“Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang menyebabkan kerosakan pada pengantungan dan penyerap hentak kenderaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -