
WASHINGTON, D.C: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dilaporkan telah menyalurkan negara pengganas Zionis Israel sekurang-kurangnya AS$17.9 bilion (RM77 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan sejak konflik Hamas-Israel bermula 7 Oktober tahun lalu, dan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$4.86 bilion (RM21 bilion) untuk memerangi kumpulan pejuang Islam Houthi Yaman.
Laporan oleh Brown University itu bagaimanapun telah dikeluarkan sebelum Pentagon mengumumkan penempatan tentera dan aset tambahan ke Timur Tengah minggu lalu, serta permulaan satu lagi pencerobohan Israel ke atas Lubnan, lapor Al Arabiya.
Laporan berkenaan juga tidak termasuk usaha Amerika Syarikat (AS) minggu lalu yang telah membantu Zionis Israel menggagalkan serangan terbesar Iran yang melibatkan hampir 200 peluru berpandu, dengan anggaran kasar kos serangan itu sebanyak AS$100 juta (RM428 juta), yang menyaksikan AS menggunakan kira-kira 12 Misil Standard.
Jenis senjata yang dihantar sepanjang tahun lalu termasuk peluru artileri, bom pemusnah bunker seberat 908 kilogram dan bom berpandukan ketepatan.
Pengisian semula sistem pertahanan udara ‘Iron Dome’ dan ‘David Sling’ milik Israel yang digunakan untuk menangkis serangan peluru berpandu membentuk satu lagi bahagian besar bantuan yang diberikan oleh AS.
“Bantuan ketenteraan AS kepada Israel sangat berbeza dengan layanan bantuan ketenteraan ke Ukraine, di mana jumlah kewangan, saluran penghantaran dan sistem khusus yang dibekalkan akan dilaporkan secara rutin dalam helaian fakta oleh kerajaan secara berkala,” katanya menerusi laporan itu.
Sementara itu, tentera AS pada minggu lalu mengumumkan bahawa pihaknya akan menghantar lebih banyak tentera ke Timur Tengah ketika pertempuran antara kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan dan Zionis Israel semakin memuncak.
“Memandangkan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah dan langkah berjaga-jaga, kami menghantar sejumlah kecil anggota tentera tambahan AS ke hadapan untuk menambah pasukan yang sudah ada di rantau ini,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder.
AS telah menambah jumlah tenteranya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menyaksikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 40,000 tentera, namun tidak jelas berapa ramai lagi yang akan dikerahkan oleh negara sekutu kuat Zionis Israel itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/10/2024




















