Komitmen Sultanah pupuk kecintaan alam sekitar dihargai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menghargai komitmen Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah terhadap usaha memupuk kecintaan terhadap keindahan alam sekitar.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, hasrat tersebut diterjemahkan menerusi inisiatif penganjuran pesta flora bertemakan ‘Kelantan Mempesona Indah Ceria’.

Katanya alam sekitar merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan manusia.

“Malah ia berhubung kait dengan semua makhluk ciptaan Tuhan yang memerlukan alam sebagai tempat meneruskan kehidupan dan keselesaan alam sekitar.

“Penjagaan alam sekitar amat dititik beratkan dalam Islam, sebagai manusia Allah mengamanahkan kita untuk menguruskan alam ini dengan baik,” katanya pada perasmian Pesta Flora Negeri Kelantan di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini hari ini.

Festa itu diadakan sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang Ke-55 di mana ianya bermula hari ini sehingga 12 Oktober.

Turut berangkat Raja Perempuan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta para pegawai kanan kerajaan.

Pada program itu Sultanah Kelantan berkenan menyempurnakan pemasyhuran Orkid Hibrid Sultanah Nur Diana Petra yang didaftarkan secara rasmi pada 4 Oktober lalu oleh kerajaan negeri dengan Persatuan Hotikultur Diraja berpangkalan di United Kingdom.

Baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan gubahan bunga dari rempah ratus empat sekawan, gubahan bunga fabrik dan tekstil, gubahan bunga hidup, pertandingan bonsai prospek dan pertandingan landskap.

Sebelum itu Sultanah Nur Diana Petra bersama Raja Perempuan melawat pameran. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -