Istiadat perkahwinan Putera Sultan Pahang bermula 22 Oktober ini

Majlis Siraman yang berlangsung di Taman Duta, Kuala Lumpur pada Isnin, 7 Oktober 2024 sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung di Istana Abdulaziz, di Kuantan, Pahang bermula 22 Oktober 2024. (FOTO: FB Kesultanan Pahang)
- Advertisement -

KUANTAN: Istiadat Perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung di Istana Abdulaziz, di sini, bermula 22 Oktober ini.

Perkhabaran manis mengenai istiadat perkahwinan diraja anakanda ketiga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu diutuskan menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.

- Advertisement -

Kesultanan Pahang menerusi kenyataannya berkata, pasangan pengantin Diraja itu bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada 24 Oktober.

“Istiadat Letak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya Istiadat Bernikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan. 

“Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober. 

Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam,” ujar satu kenyataan dalam Facebook tersebut, hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, ketiga-tiga istiadat ini akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan, Pahang. 

Sehubungan itu, pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Muzium Diraja sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. 

“Istiadat Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober ini,” ujar kenyataan itu.

- Advertisement -