‘Polarisasi kaum agenda terancang didalangi DAP’

Iszuree Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pulau Pinang yang berada di bawah pentadbiran DAP jelas memarakkan sikap perkauman dengan cuba meminggirkan kemajmukan telah sedia wujud sejak sekian lama.”

Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim berkata demikian sambil menekankan bahawa tindakan polarisasi yang menjurangkan hubungan dan keharmonian antara pelbagai kaum semakin dilebarkan secara licik dan strategik.

- Advertisement -

“Terkini, (klip video) Festival George Town 2024 yang secara terang-terangan nyata memperlihatkan seolah-olah identiti kaum Melayu telah ghaib atau pupus dari Pulau Pinang. 

“Hanya kebudayaan kaum Cina dan India sahaja dipromosikan sempena program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas klip video promosi sambutan George Town Festival 2024 yang tular, didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India; sebelum pasukan yang menghasilkan klip video berkenaan dilaporkan telah bertindak memadamkannya.

“Inikah ‘Perpaduan’ dan ‘Madani’ yang dilaung-laungkan?” soal Iszuree.

Menunjukkan belang kerakusan sebenar

Hakikatnya, tambah beliau, pemerintahan rejim DAP dengan pelbagai cara telah menunjukkan sikap bermuka-muka, hipokrit bahkan memusuhi kaum Melayu yang merupakan penduduk asal dan majoriti negara ini. 

“Kenapa kamu mencipta kebencian ini sedangkan antara Melayu, Cina, India telah hidup aman damai di negeri ini? 

“Bahkan penyatuan pelbagai bangsa inilah termasuk Bumiputera di wilayah Sabah dan Sarawak telah membentuk Persekutuan Malaysia ini. 

“Tetapi dengan sedikit kuasa politik diberikan, kamu mula menunjukkan belang dan kerakusan sebenar untuk menjalankan pelbagai muslihat yang bersifat memecah-belahkan,” hujahnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang.

Usaha yang bukan baharu

Menurut beliau, usaha ini bukan baharu, yang mana sejak DAP berjaya merampas tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, agenda meminggir, mengusir dan menghapuskan kependudukan kaum Melayu di negeri ini telah berlaku secara sistematik iaitu berselindung di sebalik pembangunan.

Katanya lagi, dengan kerjasama pemaju kapitalis, Kampung-kampung Warisan atau Tradisi Melayu di negeri itu telah dilenyapkan dan diganti dengan kediaman mewah. 

“Ia  bukan sahaja tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan kaum Melayu, tetapi juga rakyat Pulau Pinang daripada kaum Cina dan India yang miskin.

“Begitu juga dengan melambakkan seramai mungkin warga asing di asrama pekerja yang dibina di kawasan pendudukan Melayu, ia dilihat bertujuan menimbulkan ketidakselesaan sosial hingga membawa kepada perpindahan keluar,” dedah beliau.

Malah, Iszuree menyatakan, aspek perbandaran juga tidak diselia atau diselenggara sebaiknya. 

Penempatan orang Melayu, miskin diambil alih

“Ini tidak termasuk faktor kemudahan asas infrastruktur dan prasarana seperti perkhidmatan bekalan air bersih dan trafik lalu lintas sebagaimana di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Sungai Bakap. 

“Sikap lepas tangan atau pengabaian atau tiada intervensi menangani masalah tempatan seperti itu dilihat disengajakan. 

“Motifnya tidak lain tidak bukan, sebagai satu bentuk diskriminasi dan tekanan yang berbaur perkauman,” tegasnya.

Tambah beliau, kawasan penempatan orang Melayu dan rakyat miskin juga sering diambil alih kononnya atas nama pembangunan, tetapi itulah muslihat terancang untuk mengusir keluar penduduk asal.

Justeru beliau menggesa, penduduk selaku rakyat Malaysia yang sedarakan  kepentingan hidup bersama-sama kaum majmuk di negara ini harus bangkit berkata tidak kepada agenda DAP itu. 

“Usaha ini sedang melebar antaranya juga menerusi rancangan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan dan Pembaharuan Semula Bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -