Kedah Bebas Judi tepati Maqasid Syar’iyyah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Implikasi aktiviti judi akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan menggugat keharmonian institusi keluarga, meruntuhkan struktur sosial masyarakat serta mewujudkan perseteruan dalam komuniti.

- Advertisement -

Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang berkata demikian sebagai memberi pandangan berkaitan dasar bebas judi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya menyokong usaha murni yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk mewujudkan masyarakat harmoni tanpa judi, penutupan premis judi dalam negeri ini menepati konsep Maqasid Syar’iyyah,” kata beliau.

Jelasnya lagi, berdasarkan firman Allah, surah Al-Maidah ayat 91 yang membawa maksud, syaitan akan menimbulkan permusuhan dan kebencian melalui arak dan judi serta memalingkan umat Islam daripada mengingati Allah serta mendirikan solat.

“Dalam ayat itu Allah beritahu kita, judi dan arak ini permainan syaitan untuk merosakkan umat Islam serta menimbulkan permusuhan sesama kita,  jadi Allah soal kita tidakkah kita mahu berhenti daripada perkara yang keji dan kotor itu,” ujarnya.

Malah menurutnya, tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri menutup premis judi sejak lebih daripada setahun lalu, merupakan tanggungjawab  berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah iaitu berasaskan kepada maslahah (kebaikan).

“Justeru, saya menyeru seluruh umat Islam khususnya di Kedah agar dapat mengelak diri daripada terjebak dalam aktiviti perjudian kerana ia adalah ‘racun’ pemusnah masa depan ummah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -