Papan iklan tumbang: Kenapa kambing hitamkan PBT?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka dilihat cuba ‘mengkambinghitamkan’ pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam isu dua papan iklan tumbang yang masing-masing berlaku di Bachang dan Banda Hilir kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia susulan daripada kenyataan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin yang mahu PBT mengambil perhatian serius perkara tersebut.

“Persoalannya, bagaimana pula dengan Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) selaku Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka?

“Timbul juga pertanyaan, bagaimana papan iklan dibiarkan terus berdiri tanpa lesen oleh PBT? Apa prosedur standard operasi (SOP) untuk sesebuah papan iklan dapat didirikan?” soalnya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Melaka itu turut mempersoalkan mengenai syarat-syarat keselamatan yang perlu dipatuhi untuk sesebuah papan iklan didirikan.

“Pada 15 Januari 2020, Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka telah diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dari Melaka Kini Sdn Bhd.

“Menjadi tanggungjawab CMI untuk memastikan semua papan iklan yang didirikan mematuhi SOP dan spesifikasi yang telah digariskan,” katanya.

Tambah beliau, setelah hampir empat tahun, CMI Melaka memikul tanggungjawab ini, tidak sewajarnya membiarkan isu papan iklan haram berlaku, lebih-lebih lagi papan iklan yang tumbang baru-baru ini terletak di jalan utama.

“Pihak Kerajaan Negeri Melaka tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam kemalangan yang berlaku. Jangan sampai berlaku kemalangan yang melibatkan nyawa baru tindakan tegas akan diambil.

“Bak kata pepatah ‘sudah terhantuk baru terngadah’,” katanya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily semalam. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -