Moga keadilan ditegakkan buat Allahyarhamah Nur Farah Kartini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tiada kompromi untuk apa-apa jenayah di Hulu Bernam. Penjenayah yang telah membunuh Allahyarhamah Nur Farah Kartini perlu diberikan hukuman balas terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan itu agar keadilan dapat ditegakkan buat Allahyarhamah.”

Itu penegasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Muiz Mahyuddin yang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kelmarin (15 Julai 2024) di ladang sawit Kampung Seri Keledang kira-kira jam 6 petang. 

- Advertisement -

Penemuan jasad Allahyarhamah ini telah merungkai misteri kehilangannya sejak Rabu (10 Julai) minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya.

Menurut Muiz, negara telah kehilangan seorang bakal guru hebat yang tidak sempat berbakti mengajar anak-anak didik di sekolah. 

“Allahyarhamah yang baharu sahaja bergraduasi pada akhir November tahun lepas memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

“Beliau merupakan seorang lepasan mahasiswi yang sangat pintar dengan keputusan Purata Nilai Gred (GPA) 4.0 Beliau bukan sahaja pintar, bahkan gigih bekerja,” katanya yang juga Ecxo PAS Selangor.

Tambah beliau, difahamkan, Allahyarhamah bekerja di bahagian pemasaran digital di sebuah kedai percetakan di Perak sejak setahun yang lalu. 

“Beliau bukanlah bekerja di syarikat sewa kereta, tetapi hanya mengambil komisen untuk membantu sesiapa sahaja yang mahu menyewa kereta,” jelas Muiz.

Kegigihan Allahyarhamah bekerja mencari rezeki, ujar beliau, perlu menjadi contoh kepada anak muda yang lain untuk terus berusaha dengan kudrat yang ada mencari rezeki yang halal.

“Tidak dapat digambarkan betapa tergamaknya pelaku melakukan sesuatu diluar batas kemanusiaan terhadap mangsa. 

“Tahniah kepada pasukan polis yang pantas bertindak. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek yang juga anggota polis dan dipercayai teman lelaki mangsa telah pun diberkas. 

“Kita serahkan kepada kepakaran pihak polis untuk mengendalikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -