Lima DUN rintis inisiatif Tuisyen Rakyat Sejahtera

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lima DUN di negeri ini bakal menjadi perintis kepada program kelas tambahan atau tuisyen percuma yang menyasarkan para pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, maklum Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan berkata, program Tuisyen Rakyat Sejahtera itu akan berlangsung selama dua bulan bermula September ini melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

“Tuisyen percuma ini memberi peluang kepada para pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Mereka ini kebanyakannya tidak berpeluang mengikut kelas-kelas tusiyen berbayar. Ini merupakan salah satu program untuk membantu mereka,” jelasnya kepada Harakahdaily, di sini.

Dato’ Mohd Azam menambah, pihaknya akan membuat kajian dan pantauan kepada program perintis untuk melihat keberkesanannya terutama keputusan SPM pelajar yang terlibat nanti.

“Kita mencadangkan kelas ini diadakan pada hari Jumaat setiap minggu (September dan Oktober) tetapi DUN-DUN yang terlibat boleh memilih hari lain yang difikirkan sesuai.

“Kelas dan tempat juga saya serahkan kepada DUN-DUN terlibat,” tambahnya yang juga ADUN Sungai Limau dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan JERAI.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan, lima DUN yang terlibat dengan projek perintis ini ialah Sungai Limau, Pengkalan Kundur, Tanjung Dawai, Pedu dan Belantik dengan masing-masing melibatkan 50 pelajar.

“Satu lagi yang juga terlibat dengan program tuisyen percuma ini iaitu DUN Kuala Ketil, tetapi DUN ini tidak termasuk di bawah pembiayaan peruntukan kerajaan negeri, tetapi atas biayaan ADUNnya sendiri, Mejar (B) Mansor Zakaria,” ujar beliau.

Dalam pada itu jawatankuasa pemantau di peringkat DUN yang terlibat katanya, akan memberi maklum balas berkenaan program ini sama ada mencapai matlamat dikehendaki atau tidak.

“Pemantauan dan maklum balas ini sangat penting terutama melibatkan keputusan SPM pelajar yang terlibat untuk kita membuat penambahbaikan untuk tahun hadapan,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -