
PERTUBUHAN Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap laporan berita hari ini yang melaporkan bahawa pendakwaan terhadap pengerusi dan pengasas KK Mart serta beberapa pihak tertuduh lain yang terlibat bertanggungjawab telah digugurkan tanpa sebarang sebab yang munasabah dinyatakan.
Geng Ustaz menuntut satu penjelasan yang jelas dan segera dari pihak pendakawaan apakah sebab utama pihak pendakwaan menggugurkan pendakwaan dalam isu yang melibatkan sensitiviti umat Islam ini di seluruh Malaysia ini.
Sikap kerajaan pada hari ini terutama pada isu hari ini dilihat tidak serius dan sambil lewa dalam menguruskan isu ini amat mendukacitakan dan membuktikan bahawa kerajaan hari ini tidak boleh diharap untuk menjaga, memelihara isu-isu untuk mempertahankan kesucian dan ketinggian nilai Islam. Kerajaan dilihat mengambil mudah hal-hal agama Islam dan langsung tidak menjaga sensitiviti penganut agama Islam di negara ini.
Bermula daripada hubungan rapat di antara Perdana Menteri dan Pengasas KK Mart yang dilihat bersama-sama dalam lawatan rasmi negara ke Uzbekistan sehingga disudahi dengan pengguguran pendakwaan (DNA) dalam kes kalimah Allah ini nyata bahawa isu-isu yang melibatkan maruah dan kesucian agama Islam sudah tidak ada nilai di peringkat eksekutif, pemerintah tertinggi kerajaan.
Menjadi sesuatu yang janggal apabila kerajaan memilih pihak-pihak yang tertuduh dibebaskan dengan bayaran denda sebanyak RM 60000 daripada meneruskan pendakwaan kepada mereka dalam isu ini yang berpotensi untuk menghumban penghina kalimah Allah yang bertanggungjawab ini ke penjara.
Geng Ustaz menyeru seluruh umat Islam untuk sedar dan bangkit bersatu mempertahankan maruah dan kesucian umat Islam dan mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan dalam menghadapi isu yang melibatkan pencemaran kesucian agama yang semakin hari dicabar kerana tidak ada sesiapa lagi di peringkat pemerintah dan eksekutif yang dapat diharapkan melainkan umat Islam yang sayangkan agama dan imannya sahaja untuk menolak kebobrokan dan sikap sambil lewa kerajaan pada hari ini.
AHMAD SYAKIR NORAZLI
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) – HARAKAHDAILY 17/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.











