
AYER KEROH: Pelan peralihan kepimpinan BERSATU yang dirangka oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk memastikan setiap tokoh pimpinan berperanan dan tiada yang tercicir.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia juga bagi mewujudkan keharmonian dalam parti bagi meningkatkan sokongan rakyat.
Beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha merundingkan jawatan-jawatan utama bagi meletakkan calon terbaik di tempat yang tepat seperti diumumkan dalam Konvensyen BERSATU pada 13 Julai lepas.
“Setiap tokoh dalam parti dipastikan tidak akan tercicir dan akan terus dapat berkhidmat kepada parti. Jawatan Timbalan Presiden dicadangkan diberi laluan kepada YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin
“Ia menunjukkan sikap keterbukaan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Haji Azumu yang berjiwa besar sebagai pemimpin yang sayangkan perjuangan parti demi bangsa, agama dan negara,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily semalam.
Tambah beliau, usaha itu dilihat sebagai satu perancangan yang
bersifat harmoni kekeluargaan dengan niat utama mengukuhkan parti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BERSATU.
Tambah Dr Mohd Yadzil, ini selari sebagai sebuah parti pilihan rakyat berlandaskan lima prinsip utama Idealisme Perjuangan BERSATU.
“BERSATU akan lebih kuat dan maju di bawah kepimpinan YB Tan Sri Presiden Pengasas BERSATU dan insya-Allah akan terus kekal relevan di pentas politik tanah air,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











