
KUANTAN: Para nelayan di Kampung Sungai Ular mendesak aktiviti perlombongan pasir berhampiran muara di situ ditamatkan segera.
Mereka meluahkan rasa tidak puas hati dalam pertemuan yang telah diaturkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu di Jeti Nelayan Sungai Ular di sini, semalam. (Foto atas)
“Mereka mendakwa muara sungai menjadi sangat cetek dan tidak dapat dilalui oleh bot-bot nelayan untuk aktiviti perikanan.
“Ianya menjejaskan pendapatan mereka selain membawa risiko keselamatan dan kerosakan peralatan bot jika muara tersebut dilalui juga,” katanya hasil daripada pertemuan itu.
Tambahnya, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun dan pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) setiap kali menerima aduan bagi menangani masalah tersebut.
“Bunyinya agak keras, namun selepas berkali-kali berhadapan dengan kesulitan dan kerugian, mereka seolah-olah tidak boleh bertolak ansur lagi,” katanya.
Malahan, ujarnya Ketua Balai Polis Cherating, Ali Othman Mohamad dalam pertemuan tersebut berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung satu insiden yang melibatkan pertikaian tentang operasi perlombongan tersebut.
“Saya mengaturkan pertemuan ini sebelum kerja-kerja perlombongan diteruskan lagi bagi memastikan ianya tidak mendatangkan masalah atau gangguan kepada mana-mana pihak,” ujarnya lagi.
Tambahnya, walaupun pertemuan tersebut tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya isu yang dibangkitkan, namun dapat memberikan persefahaman awal di antara pihak-pihak berkepentingan.
Justeru, kata beliau, pihaknya akan membuat langkah susulan dan berusaha untuk mencapai jalan penyelesaian.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah pegawai-pegawai daripada pejabat daerah dan tanah, Jabatan Pengairan dan Saliran selaku agensi yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











