
KUALA LUMPUR: Keputusan Yang Dipertua (YDP) Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat adalah jelas tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, perkara sebegini sudah dinyatakan Perlembagaan 49A yang menyatakan bahawa kerusi mana-mana Ahli Parlimen hendaklah dikosongkan apabila terhenti menjadi ahli partinya.
“Perkara ini adalah jelas tetapi Yang Dipertua Speaker bertindak untuk tidak melakukan sedemikian adalah jelas bertentangan dengan Perlembagaan itu sendiri,” katanya ketika muncul dalam program Bicara Harakahdaily berjudul, Survival Politik Orang Melayu Di Hujung Tanduk di Pejabat Harakah di Jalan Pahang, di sini, pada malam ini.
Menurut beliau, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dakwaan bahawa perlembagaan tersebut tidak dibaca secara keseluruhan ketika Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat melakukan perkara tersebut.
Kata Isham, pada hakikatnya ialah Perlembagaan tersebut sudah dibaca berkali-kali yang jelas menunjukkan tindakan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat yang tidak mematuhinya.
“Ini menunjukkan bahawa Yang Dipertua Dewan Speaker Dewan Rakyat dan Perdana Menteri sendiri yang tidak faham Perlembagaan Akta 49.
“Perlembagaan tersebut sudah jelas menyatakan apabila seseorang itu bukan lagi menjadi ahli parti maka kerusi Ahli Parlimennya akan terus jatuh secara automatik,” jelasnya.
Terdahulu, tujuh wakil rakyat Bersatu telah digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Enam daripada tujuh wakil rakyat berkenaan membabitkan Ahli Parlimen terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Zahari juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan.
Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian Bersatu ialah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Sehubungan itu, Isham berpandangan bahawa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini akan memberikan kesan domino sekiranya berlaku kekosongan terhadap enam kerusi Ahli Parlimen tersebut.
Kata beliau lagi, kemenangan tersebut membuatkan kerajaan takut sekiranya berlaku PRK di enam kawasan tersebut.
“Lagipun sudah banyak isu yang kerajaan telah timbulkan seperti kenaikan harga diesel dan sekarang ini isu BlackRock pula.
“Kita semua tahu tindakan sebegini membuatkan lebih ramai orang Melayu tidak sokong Perdana Menteri pada masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024




















