Penguatkuasaan PBT pantau premis bisnes tanpa lesen 

Rosli (tengah) dalam perjumpaan di Menara MBKT, Kuala Terengganu, Terengganu pada hari ini, 16 Julai 2024.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebuah premis di Dataran Emas, Jalan Sultan Sulaiman di sini yang menjalankan perkhidmatan urutan tradisional telah diserbu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar jam 11 malam semalam. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif berkata, dalam serbuan itu, premis tersebut didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

- Advertisement -

“Pegawai penguatkuasa PBT telah merampas beberapa barangan dari premis berkenaan termasuk enam buah tilam, tujuh helai cadar, tujuh helai tuala, sehelai seluar pendek, dan satu set alatan urut.

“Menerusi serbuan berkenaan kita dapati ada enam orang warga Thailand, namun pihak PBT tidak ada kuasa untuk menyemak status sah pekerja asing tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, premis berkenaan dikenakan denda sebanyak RM1,000 di bawah undang-undang kecil perlesenan tred perniagaan dan perindustrian 2013. 

“Sekiranya denda ini tidak dibayar, pemilik premis berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah. 

“Pemilik premis juga diberi tempoh 30 hari untuk menuntut kembali barangan yang dirampas, jika tidak, barangan tersebut akan dilelong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dalam satu perjumpaan bersama Datuk Bandar di Bilik Mesyuarat Tingkat 28, Menara MBKT, di sini, hari ini.

Beliau berkata, premis milik bukan Islam itu tidak akan dibenarkan beroperasi lagi. 

Menurut Rosli, serbuan oleh 11 pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuahkan hasil selepas dua bulan menjalankan intipan sebelum dapat memasuki ke premis terbabit.

“Pada malam serbuan, kebetulan terdapat pelanggan yang ingin memasuki premis, ini memberikan peluang kepada pihak penguatkuasa untuk bertindak.

“Ketika serbuan ada tiga pelanggan yang berada di dalam premis tersebut dan kesemua pekerja yang ditemui adalah warga Thailand, dengan seorang daripada mereka bertugas sebagai penjaga kaunter,” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dan beberapa premis lain sedang dalam pantauan. 

“Peniaga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita memang hendak orang berniaga, tapi patuhi kendak dan garis panduan, insya-Allah selamat,” katanya.

Mengulas berhubung laporan akhbar Kosmo! mengenai 14 wanita Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) didenda RM700 gara-gara menyalahguna pas lawatan sosial, beliau berkata, kes berkenaan sudah lama berlaku.

“Kes itu kes lama saya sudah rujuk kepada Balai Polis Kuala Terengganu, cuma yang keluar dalam akhbar Kosmo! setelah hukuman dijatuhkan di mahkamah. 

“Premis berkenaan sebenarnya sudah tutup untuk kita pergi ambil tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -