
KUALA LUMPUR: Kaedah baharu yang digunakan oleh kerajaan bagi menangani penyebaran fahaman liberal perlu diberikan penjelasan.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, golongan tersebut kini dilihat berselindung di sebalik penganjuran program-program bersifat wacana dan dialog.
“Ini termasuk jaminan supaya sebarang penganjuran wacana dan dialog tidak akan melibatkan individu yang mendukung fahaman Islam liberal,” katanya.
Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan tentang kaedah yang digunakan kerajaan dalam memberi penjelasan kepada golongan sasar melalui pelbagai platform formal dan informal bagi membendung gejala liberal ini daripada terus berleluasa.
“Adakah terdapat usaha untuk memperkukuh kurikulum Pendidikan Islam secara formal dan informal dalam institusi pendidikan serta undang-undang berkaitan bagi mencegah penyebaran agenda liberal atau seumpamanya secara menyeluruh terhadap masyarakat Islam?” ujarnya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam soalan asalnya beliau meminta Perdana Menteri untuk menyatakan tindakan dalam menangani ideologi liberalisme dan pluralisme yang dilihat semakin agresif disebarkan dalam masyarakat dengan pelbagai medium termasuk secara dalam talian sekarang ini.
Pertanyaan itu dijawab oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan. – HARAKAHDAILY 16/7/2024











