Hentikan permit buru buaya sepanjang tahun di Sabah

Sebanyak 404 kes serangan buaya dilaporkan di Sabah antara 2019 hingga Mei 2024 dengan sebanyak 211 buaya ditembak mati dalam tempoh tersebut. (FOTO: Sabah Post)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk menghentikan permit memburu buaya sepanjang tahun di negeri itu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya berasa amat bimbang dengan berita mengenai pengeluaran permit memburu buaya sepanjang tahun di Sabah sebelum ini.

Beliau sebaliknya menyatakan apa yang perlu lebih diutamakan adalah penyelidikan untuk mengawal populasi buaya dan menguruskan konflik manusia-buaya di negeri itu dengan berkesan.

“Tumpuan perlu diberikan kepada mempromosikan pendidikan dan bukannya pembasmian,” katanya dalam satu kenyataan media.  

- Advertisement -

Beliau mengulas laporan berita media tempatan pada Mei tahun ini yang melaporkan bahawa JHL Sabah telah membuka permohonan lesen untuk memburu buaya sepanjang tahun dalam usaha mengimbangi populasi hidupan liar itu di negeri itu.

Dalam laporan berita tersebut, Christina dilaporkan sebagai berkata, setakat ini maklum balas diterima JHL Sabah berhubung permohonan lesen itu masih pada tahap yang minimum.

“Pemburuan buaya dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan konflik manusia buaya, selain mewujudkan industri berasaskan hidupan liar itu.

“Saya berharap pendekatan ini bukan saja mengurangkan konflik (manusia-buaya) tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi tempatan,” kata Christina.

Konflik buaya-manusia

Terdahulu, Pengeluaran lesen memburu buaya di Sabah bermula sejak kira-kira dua tahun lalu berikutan peningkatan kes serangan reptilia itu terhadap manusia yang dilaporkan di negeri ini.

Berdasarkan rekod JHL Sabah, sebanyak 404 kes serangan buaya dilaporkan di Sabah antara 2019 hingga Mei 2024 dengan sebanyak 211 buaya ditembak mati dalam tempoh itu, manakala 42 mangsa terbunuh dan 23 cedera akibat diserang reptilia berkenaan.

Bagaimanapun CAP yang menegaskan bahawa populasi buaya liar di Sabah telah pulih di sejak ia dilindungi undang-undang pada tahun 1982, menyatakan bahawa satu rangkaian masalah baharu muncul daripadea peningkatan konflik manusia-buaya. 

“Cabarannya sekarang ialah bagaimana untuk mengekalkan apa yang negeri itu telah berjaya lindungi. 

“Keadaan menjadi lebih kompleks memandangkan tempat tinggal manusia berada di sepanjang sungai dan pantai,” kata Mohideen.

Menurutnya, ketika tinjauan selama dua tahun dari 2017 hingga 2019 dilakukan, JHL Sabah telah mengenal pasti 2,886 ekor buaya di sepuluh sungai berbeza, menunjukkan populasi buaya yang sihat. 

“Tinjauan dijalankan setiap 20 tahun untuk menilai populasi buaya. Walau bagaimanapun, tinjauan yang berselang selama lima tahun akan lebih bermanfaat daripada tempoh 20 tahun pada masa ini, yang dianggap terlalu panjang. 

“Peningkatan penampakan buaya dan serangan baru-baru ini mencetuskan perdebatan sama ada manusia boleh terus hidup bersama dengan pemangsa puncak ini atau haruskah kita menakaikan populasi buaya,” ujarnya.

Tambah  beliau, menurut data terkini daripada JHL, 77 operasi telah dijalankan antara 4 Januari dan 29 Mei tahun ini, dengan 109 buaya ditembak atau ditangkap. 

“Dalam tempoh masa yang sama, serangan buaya meragut tiga nyawa dan mencederakan tiga yang lain. 

“Masyarakat tempatan menganggap buaya sebagai ancaman serius kepada nyawa dan mata pencarian. 

“Akibatnya, ramai yang percaya bahawa penghapusan adalah satu-satunya penyelesaian lanjutan daripada kematian yang berlaku,” jelasnya.

Buaya bergerak ke habitat air tawar

Bagaimanapun, Mohideen menegaskan bahawa lesen memburu terbuka di Sabah  bagi sepanjang tahun untuk mengurangkan konflik buaya-manusia itu mungkin tidak berkesan. 

“Penakaian (proses tindakan) sahaja tidak dapat menjamin perlindungan daripada kemungkinan bertemu buaya, terutamanya kerana sungai berfungsi sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat. 

“Akibatnya, konflik ini berkemungkinan akan berterusan apabila buaya bergerak dari muara ke habitat air tawar di pedalaman dan kawasan pantai untuk mencari kawasan baharu. 

“Buaya juga menghadapi beberapa ancaman, yang paling serius ialah kemusnahan atau perubahan habitatnya,” katanya.

Beliau menyatakan, kemerosotan ekosistem yang disebabkan oleh aktiviti seperti penebangan hutan, penukaran guna tanah bagi pertanian, dan pencemaran, bersama-sama dengan kehabisan sumber makanan akibat peningkatan populasi manusia dan faktor antropogenik lain, mengancam populasi buaya.

“Malah dengan perubahan sederhana dalam keadaan habitat boleh mendatangkan bencana kepada buaya, yang memerlukan persekitaran yang luas dan pelbagai kerana saiznya yang besar.

“Pada masa ini, ketidakpastian dalam memburu buaya menimbulkan keraguan mengenai bilangan buaya yang dibenarkan setiap pembunuhan, serta kriteria yang digunakan untuk menentukan jenis buaya yang diluluskan untuk dibunuh atau ditangkap. 

“Tambahan pula, kebimbangan wujud mengenai potensi eksploitasi atau penggunaan tidak wajar permit memburu, membolehkan pemburu terlibat dalam usaha mengejar spesies fauna (buaya) yang terancam dan tergugat di dalam kawasan hutan,” jelasnya lagi.

Kritikan peguam hak asasi haiwan

Mohideen juga berkata, keputusan Jabatan yang membenarkan pemburuan buaya mendapat kritikan daripada peguam untuk hak asasi haiwan. 

“Dalam laporan media pada Februari 2024, peguam-peguam ini mengecam keputusan itu kerana langkah membunuh diambil dan bukannya menangkap dan menempatkan semula buaya yang mengancam nyawa manusia,” kongsinya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pendekatan menyeluruh perlu merangkumi pelbagai teknik yang termasuklah dengan penubuhan kawasan perlindungan dan santuari hidupan liar di mana buaya boleh hidup tanpa gangguan daripada manusia; selain pengubahsuaian habitat berhampiran penempatan manusia untuk menghalang buaya daripada bersembunyi atau bersarang.

“Juga tinjauan rutin dan pemantauan populasi buaya perlu dilakukan untuk mengumpul maklumat mengenai saiz dan kesihatannya; serta pemerhatian pergerakan buaya yang kerap ke kawasan berhampiran dengan masyarakat.

“Selain itu perlu diadakan penempatan penguatkuasa undang-undang untuk mengawal aktiviti manusia berhampiran habitat buaya; di samping penubuhan Pasukan Tindak Balas Pantas untuk bertindak balas dengan cepat terhadap laporan buaya yang tidak mudah dikawal; dan juga pemindahan buaya dari kawasan konflik yang panas ke kawasan terpencil atau rizab buaya,” ujarnya. 

Pilihan lain, kata Mohideen termasuklah menyediakan mata pencarian alternatif kepada masyarakat yang amalan menangkap ikan meletakkan mereka dalam bahaya serangan buaya, serta memberi pampasan kepada komuniti yang mengalami kerugian akibat serangan buaya ke atas harta benda atau ternakan. 

“Program pengurusan tersebut tidak seharusnya menjadi satu penyelesaian yang sesuai untuk semua.

“Ia mustahak untuk melibatkan komuniti bagi berkongsi kepercayaan dan amalan budaya positif mengenai buaya, serta belajar daripada pengetahuan orang asli mengenai kewujudan bersama mereka. 

“Penglibatan komuniti adalah penting, termasuk skim pemantauan oleh komuniti, latihan dalam memerhati dan mengendalikan buaya, ceramah pendidikan, dan aktiviti interaktif. Aktiviti seperti ini telah dikendalikan oleh Yayasan Mabuwaya di Filipina.

“Akhir sekali, perlu memahami bahawa lokasi buaya adalah di dalam perairan dan mengakui bahawa ia adalah wilayahnya adalah amat penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -