
KUALA LUMPUR: Pasukan e-sukan negara, Selangor Red Giants (SRG) muncul sebagai juara dunia Kejohanan Mid Season Cup Mobile Legends Bang Bang (MSC MLBB) 2024 dengan meraih hadiah wang tunai RM4.7 juta selepas menewaskan wakil Filipina, Falcons AP.Bren di Riyadh, Arab Saudi.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden mengucapkan tahniah kepada SRG atas kemunculan pertama mereka di pentas final yang menamatkan saingan akhir ‘best of 7’ yang sangat sengit dengan kemenangan 4-3.
“Tahniah anak muda! Sekali lagi nama Malaysia mengaum di persada dunia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, SRG juga merupakan satu-satunya pasukan tunggal Malaysia yang berjaya memasuki final pada kejohanan tersebut yang menewaskan Falcons AP.Bren yang merupakan antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan ini.
Sehubungan dengan itu, Afnan yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, SRG bukan jadi juara dalam kejohanan ini sahaja, bahkan berjaya menempatkan diri ke tangga ketiga terbaik dunia dalam arena e-sukan.
Namun begitu, Afnan juga mengucapkan syabas kepada HomeBois wakil dari Malaysia yang bertarung di dalam kejohanan ini juga namun tersingkir di peringkat separuh akhir.
“Teruskan perjuangan! Kita orang muda, ini masa untuk kita mencipta nama buat negara,” katanya lagi.
Berdasarkan informasi di Liquidpedia, pasukan SRG membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta (RM4,670,000).
Ia merupakan hadiah kemenangan bagi juara tertinggi sejak Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang diperkenalkan sejak 2017 yang dulunya dikenali sebagai Southest Asia Cup Mobile Legend.
Kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend merupakan sebahagian daripada kejohanan Piala Dunia E-Sukan, bermakna dengan kemenangan mereka juga dinobatkan sebagai juara dunia dalam permainan Mobile Legends. – HARAKAHDAILY 15/7/2024




















