MP PN kenakan riben putih, protes keputusan Speaker

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hadir di Dewan Rakyat hari ini dengan mengenakan lilitan riben putih pada lengan kiri.

- Advertisement -

Ini sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Protes itu merujuk kepada keputusan Johari yang menetapkan enam kerusi yang disandang itu kekal dan tidak berlaku kekosongan.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, tindakan demikian sebagai bantahan terhadap tafsiran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat.

“Riben putih di lengan kiri sebagai protes berlakunya ‘reformati’, spesifik merujuk kepada Perkara 49A.

“Soalan Masjid Tanah sudah beri, mohon jawapan menteri,” katanya melalui pantun pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Johari menerusi surat bertarikh 9 Julai lalu kepada Bersatu mengekalkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) sebagai wakil rakyat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat, Rabu lepas. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -