
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Sabah mempertingkatkan hubungan dua hala dalam isu-isu berkaitan bencana dan kebajikan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, isu terbabit dibincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah ketika mereka berkunjung ke Kelantan kelmarin.
“Saya sangat menghargai kehadiran Setiausaha Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Maria Chong dan Pengarah JKM Am Sabah, Jais Asri,” katanya di sini.
Kata beliau pertemuan itu sebagai bukti komitmen bersama dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi rakyat, terutamanya dalam aspek pengurusan bencana dan kebajikan sosial.
Menurutnya kerjasama antara dua negeri tersebut diharap dapat mempertingkatkan kualiti hidup rakyat bagi memastikan setiap individu yang berhadapan dengan kesukaran dibantu kerajaan.
“Terima kasih JKM Sabah atas kunjungan dan perkongsian yang sangat bermakna. Bersama-sama kita mampu menghadapi segala rintangan dan membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu, Maria mengucapkan terima kasih kepada Rohani kerana meraikan kedatangan rombongan JKM dari Sabah, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negeri. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











