
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengkritik tindakan Speaker Dewan Negeri Selangor yang disifatkan sebagai tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawab.
Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Nazrul Nadzir berkata, inilah sikap sebenar Kerajaan Perpaduan yang gemar menafsirkan undang-undang mengikut selera sendiri.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San yang tidak mahu mengosongkan kerusi Selat Klang adalah suatu tindakan yang sudah dijangkakan.
“Namun, keputusan itu agak janggal dengan semangat penggubalan Akta Anti-Lompat Parti yang dicipta untuk memastikan kestabilan politik dalam negara.
“Adakah ia telah dibakulsampahkan?” soal Nazrul.
Menurutnya, biarpun mempunyai tempoh 21 hari untuk memaklumkan kekosongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor Fasal 65 (3), Speaker hanya menggunakan tempoh tersebut untuk mencipta alasan bagi tidak mengosongkan kerusi tersebut.
“Bahkan beliau hanya memaklumkan keputusannya itu pada saat-saat terakhir persidangan Dewan Negeri Selangor, seolah-olah mahu lepas tangan dengan keputusan tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, Speaker sepatutnya menjalankan tugas berdasarkan Perkara 65 (3) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor iaitu hanya ‘memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka’.
“Speaker sebenarnya tiada ‘locus standi’ menentukan keabsahan keahlian parti dengan menafsirkan perlembagaan parti Bersatu,” tegasnya.
Perkara ini, ujar Nazrul lagi, mencerminkan Speaker tidak berfungsi dengan baik, dan hipokrasi ini secara tidak langsung menghina keluhuran perlembagaan yang kita junjung selama ini.
“Mengapa begitu takut untuk kosongkan kerusi?
“Berilah mandat kepada rakyat untuk menentukan pilihan terbaik mereka untuk diangkat ke dalam Dewan Negeri ini menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari yang jelas telah mengkhianati amanah rakyat.
“Siapa jua yang menang dalam Pilihan Raya Kecil itu kelak, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari masih lagi Menteri Besar Selangor.
“Jadi, mengapa begitu pengecut?
“Pada masa yang sama, jika Datuk Abdul Rashid seorang yang bermaruah, letak jawatan secara terhormat dan biarkan rakyat menilai semula.
“Berikan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Lau dalam laporan media tempatan berkata, tidak berlaku kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.
Alasan Lau ialah tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan kekosongan luar jangka berkenaan; dan beliau juga berkata bahawa notis dibawa Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertarikh 20 Jun 2024 yang diterima pejabat Speaker tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















