
KUALA TERENGGANU: Usaha menubuhkan sekolah di bawah PAS adalah sebagai usaha membina ulama pelapis dan perkaderan.
Menurut Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, ini agar jemaah Islam tidak ketandusan para amilin.
Sehubungan itu, beliau melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit telah dibina bangunan Madrasah Darul Falah.
“Semoga harakatul ummah ini terus menjadi pilihan kepada rakyat di negeri ini mendapatkan perkhidmatan pendidikan berorientasikan Islam dan terus memacu kegemilangan pendidikan alternatif buat rakyat, insya-Allah,” ujarnya menerusi laman sosial beliau.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan bangunan baru Madrasah Darul Falah di Pengkalan Maras, kelmarin. Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Husain Awang dan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Ismail Osman.
Sementara itu, ADUN Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail pula menyatakan tugas mencetak generasi Islam adalah gudang pahala yang besar dan berpanjangan kurniaan Allah.
Katanya, usaha itu bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran, ketahanan dan keikhlasan.
Usaha menubuhkan sekolah di bawah PAS adalah sebagai usaha membina ulama pelapis dan perkaderan jamaah agar jemaah Islam tidak ketandusan para amilin.
“Terima kasih semua. Moga Allah berkati usaha kita ini,” katanya.
Tambahnya, orang ramai boleh memberikan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 130 620 1003 2446 atas nama Madrasah Darul Falah. – HARAKAHDAILY 13/7/2024











