
KUALA LUMPUR: Allah SWT memuliakan manusia dengan ilmu wahyu, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, dengan kemuliaan itu manusia diletakkan di atas muka bumi sebagai khalifah bukan sahaja untuk beribadah tetapi untuk mentadbir bumi ini.
“Allah mengurniakan mukjizat ilmu iaitu al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak boleh dicabar,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Hi-Tea dan Perasmian Bangunan Baru Madrasah Darul Falah, Pengkalan Maras, Kuala Nerus, kelmarin. Petikan ucapan itu disiarkan menerusi laman Facebook beliau, semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Husain Awang dan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Ismail Osman.
Beliau menambah, melalui ilmu itu, umat Islam memimpin manusia dan menjadi sebuah kuasa besar sehingga menundukkan Rom dan Parsi yang merupakan kuasa besar pada waktu itu.
Katanya, Islam memandu dunia selama lebih 1,300 tahun sehinggalah orang Islam meninggalkan ajaran Islam.
Menurut beliau lagi, apabila orang Islam meninggalkan ajaran Islam, negeri-negeri dan jajahan Islam ditakluk oleh kuasa Barat namun al-Quran tetap terpelihara.
“Atas dasar inilah, sekolah-sekolah agama dan pondok didirikan bagi menyalakan cahaya Islam.
“Inilah peranan sekolah-sekolah agama yang didirikan di seluruh dunia oleh para ulama dan pemimpin Islam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Tuan Guru turut mengucapkan syabas buat kalangan pentadbir Madrasah Darul Falah.
“Mudah-mudahan segala bentuk sumbangan kita walaupun sedikit tetapi diberkati oleh Allah.
“Seeru ‘ala barakatillah, teruskan perjalanan dengan mendapat berkat daripada Allah SWT,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/7/2024











