
KUALA LUMPUR: “Sampai bila kerajaan hendak berhenti salah guna kuasa melalui penggunaan Akta Hasutan 1948 ini?”
Itu persoalan yang ditegaskan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid mengulas susulan bekas Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris (atau Sir Azri Papagomo) yang telah ditahan pihak polis.
Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan pada 12 Julai 2024, Sir Azri ditahan polis Balai Polis Bukit Aman selepas menghadiri perbicaraan kes hasutan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta semalam.
Pada ketika itu, Sir Azri hadir perbicaraan hari kedua susulan pertuduhan menghasut, termasuk atas dakwaan menuduh kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat.
“Tangkapan tersebut telah dibuat oleh dua orang pegawai polis dari Bukit Aman atas alasan terdapat laporan polis yang dibuat berkait dengan kenyataan beliau selepas ucapan atau titah Duli Yang Maha Mulia DiPertuan Agong ketika sambutan Maal Hijrah Kebangsaan,” jelas Rafique.
Beliau berkata demikian dalam sidang Media Bebaskan Sir Azri di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Nadzir Helmi; Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard); dan mantan Ketua Pemuda Umno Bahagian Seremban Zool Amali Hussin (Bozz Jebat).
Menurut beliau, pada hari ini pihak polis telah memohon kepada pihak mahkamah supaya Sir Azri direman selama empat hari di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Namun begitu, beliau menyatakan tidak bersetuju dengan reman tersebut dan setelah pihak mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak, maka keputusan untuk reman Papagomo telah ditolak.
“Perkara ini saya boleh sahkan yang mana pihak mahkamah telah menolak permohonan pihak polis untuk reman beliau selama empat hari.
“Jadi, beliau akan keluar dari IPD Dang Wangi pada pagi ini.
“Cuma saya nak tanya di sini ialah sampai bila kerajaan nak salah guna Akta Hasutan 1948 ini?
“Satu lagi persoalan saya kepada kerajaan ialah bila hendak mansuhkan Akta Hasutan ini? Bukankah sebelum ini ketika mereka menjadi pembangkang dahulu menyatakan benar-benar komited dalam melakukan sedemikian?
“Malah, apa yang berlaku ialah akta tersebut disalahgunakan untuk menghukum mana-mana pengkritik kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap apa yang berlaku,” katanya.
Tambah Rafique, sebelum ini terdapat satu laporan polis yang dibuat oleh seorang saksi bernama Hisham Sharudin berhubung kenyataan Sir Azri yang didakwa mengandungi hasutan, bahawa kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-barat di mahkamah semalam.
Dalam pada itu, akhbar Berita Harian pada 12 Julai 2024 melaporkan pula bahawa Sir Azri telah didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut di laman Facebook Halid (Halid Mat Kool) dan ia dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada jam 1 tengah hari pada 8 November 2023.
Namun begitu, kata Rafique lagi, selepas dua jam telah memberikan keterangan di mahkamah mengenai perkara tersebut, Hisham kemudiannya telah menarik balik laporan polis mengenai isu sedemikian.
“Kami dapati bahawa saksi ini (Hisham) merupakan seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah membuat lebih daripada 90 laporan polis atas namanya sendiri termasuklah mengenai aktiviti-aktiviti yang melibatkan parti pembangkang.
“Jadi saya rasa perkara sebegini perlu dihentikan serta merta,” tegasnya.
Sementara itu, Nadzir menyatakan PAS mengecam tindakan kerajaan yang telah menyalahgunakan pihak berkuasa untuk tujuan politik.
Kata beliau, PAS secara konsisten sejak penubuhannya telah mengecam tindakan tersebut yang dilakukan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang.
“Jadi kami mengecam mana-mana parti politik yang menggunakan pihak berkuasa yang telus dan ikhlas bekerja yang mana mereka terpaksa melayani segala salah guna kuasa yang digunakan oleh pihak kerajaan pada hari ini yang bertujuan untuk menutup mulut pihak yang mengkritik kerajaan,” katanya.
Beliau menyatakan seorang pemimpin negara seharusnya perlu mempunyai sifat menerima sebarang kritikan tetapi wajib mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Kalau kerajaan tidak boleh menerima sebarang kritikan yang bertujuan membina negara ke arah yang lebih baik, saya cadangkan Perdana Menteri boleh mula menulis surat letak jawatan.
“Jika tidak bersedia meletakkan jawatan, maka saya cadangkan dirombak semula Kabinet supaya adanya orang lebih kompeten.
“Perkara tersebut boleh dimulakan Menteri Ekonomi dan kemudiannya Menteri Komunikasi dan seterusnya Menteri Pendidikan.
“Ini kerana sedar ataupun tidak sedar, yang banyak membuat masalah ialah Menteri-Menteri yang dilantik daripada parti Perdana Menteri itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















