Idea pelbagai pihak perkasakan Pondok Pengajian Darul Mubarak

Muhammad Ismi dalam Majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok di Pondok Pengajian Darul Mubarak, Parit, Perak pada hari ini, 13 Julai 2024.
- Advertisement -

PARIT, Perak: “Kerjasama yang erat antara pelbagai pihak adalah bukti nyata betapa pentingnya semangat kebersamaan dalam mencapai matlamat yang lebih besar, terutamanya dalam aspek pendidikan dan pembangunan kerohanian.”

Pengerusi Pondok Pengajian Darul Mubarak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata demikian dalam Majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok di Pondok Pengajian Darul Mubarak, pada hari ini, Sabtu (13 Julai), di sini.

Sehubungan itu, beliau terlebih dahulu telah meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menjayakan majlis berkenaan, terutamanya anggota Polis Di Raja Malaysia, anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Parit, Tuan Amir Setiausaha Masjid Parit, serta pemimpin-pemimpin NGO di sekitar Parit.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada anggota Polis Di Raja Malaysia; anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Parit; Tuan Amir Setiausaha Masjid Parit; pemimpin-pemimpin NGO di sekitar Parit dan semua yang terlibat menjayakan Bengkel Sumbangsaran ini. 

- Advertisement -

“Tanpa kerjasama dan komitmen anda semua, tidak mungkin majlis ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya dalam ucapan pembukaan majlis tersebut.

Menurut beliau, majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok ini diadakan dengan tujuan utama untuk mewujudkan sebuah komuniti yang bersatu padu dalam membangunkan Pondok Pengajian Darul Mubarak dan kawasan sekeliling melalui sumbang saran, pandangan dan cetusan-cetusan idea dari semua pihak. 

“Antara matlamat utama majlis ini adalah mengumpulkan pandangan dan daripada pelbagai pihak tentang cara-cara untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan di Pondok Pengajian Darul Mubarak.

“Selain itu, ia juga adalah bagi memperkukuhkan jaringan antara institusi pendidikan, pihak berkuasa, NGO, dan masyarakat setempat dalam usaha membangunkan komuniti yang lebih harmoni dan progresif.

Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Parit turut hadir pada Majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok di Pondok Pengajian Darul Mubarak pada hari ini.

“Juga, untuk merancang dan melaksanakan strategi-strategi bersepadu dalam meningkatkan keberkesanan program-program pendidikan dan kerohanian di pondok pengajian,” jelasnya.

Sehubungan itu, antara aktiviti sepanjang program termasuklah perbincangan kumpulan, yang mana peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk membincangkan topik-topik tertentu dan mencadangkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan.

“Diharapkan agar majlis seperti ini dapat diadakan secara berkala dan mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak. 

“Kami sangat berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi platform yang kukuh untuk kita semua bersatu dalam menjayakan agenda pendidikan dan kerohanian,” ujar Muhammad Ismi.

Antara aktiviti sepanjang program Majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok di Pondok Pengajian Darul Mubarak.

Tambah beliau, dengan kejayaan majlis ini, Pondok Pengajian Darul Mubarak yakin dapat melangkah lebih jauh dalam usaha menyediakan pendidikan agama yang berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa. 

Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa, NGO, dan masyarakat setempat, ujarnya, sangat dihargai dan diharapkan akan terus kukuh demi kebaikan bersama.

“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program bermanfaat pada masa akan datang.

“Majlis Sumbangsaran Sahabat Pondok anjuran Pondok Pengajian Darul Mubarak bukan sahaja mencapai objektifnya, malah berjaya memperkukuhkan hubungan baik antara institusi pendidikan, pihak berkuasa, dan masyarakat setempat. 

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah memberikan sokongan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2024

- Advertisement -