
SEMASA berlakunya kiamat, langit akan runtuh, bukit-bukau pecah, api keluar dari laut dan sungai menyala. Laut yang terbakar menjadi salah satu fenomena hari kiamat.
Peristiwa itu menyebabkan manusia berasa takut. Hutan yang terbakar pun sudah menakutkan, ini apatahlagi laut.
Selepas kiamat berlaku, manusia akan diberikan tempat masing-masing. Orang-orang kafir akan masuk ke dalam neraka. Yang dahsyatnya, benda-benda sembahan seperti tokong, berhala dan lain-lain akan diambil oleh Allah, dibuang ke dalam neraka dan kesemua itu menjadi kayu api dalam bahasa mudahnya.
Mereka melihatnya sendiri, ternyata semua benda yang mereka sembah tidak dapat berbuat apa-apa. Api di dalam neraka menyala bersama-sama dengan benda sembahan tersebut.
Bahan bakar neraka ialah manusia dan batu-batu. Dahsyatnya neraka sehingga batu pun boleh menjadi kayu api. Kalau kayu, takpelah lagi. Manusia pun kalau dibakar itu biasa, lihatlah mayat orang India yang dibakar.
Tetapi, ini batu, ia dibakar sehingga hancur. Nak kata, betapa panasnya neraka kerana kuasa api untuk menghancurkan batu adalah terlalu tinggi.
Di dunia, api dengan suhu yang tertentu dengan bahangnya boleh dirasai dari jauh dapat mencairkan batu-batu galian di dalam tanah. Namun, api neraka di akhirat lebih dahsyat lagi.
Seksaan ini khusus buat orang musyrikin. Orang Islam yang fasik lebih ringan lagi hukumannya, tetapi dibakar juga. Orang fasik juga akan masuk ke dalam neraka kalau Allah tidak mengampuninya, cuma tidaklah seberat hukuman kepada orang kafir.
Kafir sama ada musyrik seperti yang hidup pada zaman Nabi atau kafir Kristian sebagai contoh atau mana-mana orang kafir yang tidak mempunyai iman.
Kalau benda yang disembah seperti kayu, batu dan lain-lain adalah Tuhan, takkanlah kesemua itu masuk ke dalam neraka? Sepatutnya kesemua itu boleh menyelamatkan diri dan orang-orang yang menyembahnya.
Namun terbukti di akhirat, yang disembah dan puja itu tidak boleh menolong mereka sehingga dibuang dan dijadikan sebagai bahan bakar kepada neraka. Semua yang menyembah dan disembah masuk ke dalam neraka belaka dan kekal sampai bila-bila. – HARAKAHDAILY 13/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















