
KUALA LUMPUR: Kerajaan pada ketika ini sudah menambah lebih banyak lagi hutang negara yang sememangnya berbeza dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sudah ramai rakyat yang menderita ketika di bawah pimpinan kerajaan pada hari ini.
“Satu daripadanya ialah dengan menambah lagi hutang negara sedia ada padahal sebelum ini mereka berjanji untuk tidak melakukan sedemikian.
“Kenaikan hutang negara ini menyebabkan rakyat terpaksa tanggung segala krisis ekonomi yang berlaku pada hari ini,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Gelombang Selamatkan Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden; mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar; dan bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil.
Menurut beliau, sudah banyak krisis ekonomi yang berlaku dalam negara ini iaitu kenaikan harga barang dan diikuti dengan kenaikan harga minyak diesel serta kenaikan kos sara hidup.
Tambah beliau, krisis sebegini adalah berbeza dengan apa yang dilaungkan oleh pihak kerajaan sebelum ini yang kononnya menjanjikan ekonomi yang lebih baik.
“Kita boleh lihat bagaimana rakyat sedang merana pada masa ini dengan terpaksa menanggung hutang negara yang semakin tinggi.
“Ini diikuti dengan penghapusan subsidi diesel secara tiba-tiba yang sudah tentu menyumbang lagi kepada kenaikan harga barang yang sedia ada.
“Bayangkan ya, rakyat sudah pun merana dengan penurunan nilai matawang yang menyumbang kepada kenaikan harga barang dan sekarang apabila berlakunya penghapusan subsidii diesel, sudah tentu keadaan ekonomi rakyat akan semakin terbeban.
“Ini benar-benar berbeza dengan apa yang dijanjikan oleh pihak kerajaan itu sendiri dan sudah tentu ramai rakyat akan kecewa dengan perkara sebegini,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu berbanding RM2.15 seliter sebelum itu berdasarkan formula mekanisme harga automatik bagi bulan Mei.
Ini sekali gus menamatkan sistem subsidi pukal setelah sebelum ini kerajaan mengurangkan subsidi elektrik dan mengapungkan harga ayam.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa hutang kerajaan meningkat secara mendadak hampir dua kali ganda selepas enam tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penganalisis politik, Lim Sian See dilaporkan berkata, berdasarkan Belanjawan 2024, hutang kerajaan tahun ini dijangka meningkat kepada RM1,263 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM576.2 bilion berbanding 2017.
Sehubungan itu, Tun Faisal menyatakan rakyat perlu terus bangkit bagi menyelamatkan negara ini daripada krisis-krisis sebegini.
Ini kerana, kata beliau, rakyat sendiri boleh melihat sudah terlalu banyak krisis ekonomi rakyat yang berlaku semenjak pentadbiran kerajaan pada masa ini.
“Ini belum campur lagi dengan isu cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock bersifat pro-Zionis.
“Jadi kita sebagai rakyat perlu terus bangkit bagi menyelamatkan negara ini daripada membiarkan semakin banyak lagi krisis untuk terus berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















