
KUALA LUMPUR: Lebih 35 tahun, Harakah menjadi media rasmi PAS dan kini ia boleh didapati di depan rumah sahaja.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada hari ini merasmikan pelancaran keluaran Harakah cetak yang terbaharu dengan berkonsepkan Harakah di depan rumah.
Beliau merasmikan pelancaran tersebut pada program Liqa’ Fikri Siri Kedua 2024 di Bangunan PGRM, Cheras, di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Pemasaran Harakah, Zainab Awatif Omar berkata, pelancaran Harakah Cetak Depan Rumah dilakukan adalah untuk menyenangkan para pelanggan Harakah mendapatkan akhbar ini pada setiap minggu.
“Langganan Harakah cetak ini kini hanya menggunakan imbasan QR Kod dan kita tawarkan harga paling jimat dengan serendah RM3.33 untuk senaskah bagi langganan setahun,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurut beliau lagi, Harakah Cetak Depan Rumah ini akan dipanjangkan ke kawasan-kawasan PAS agar ia dapat dikongsi bersama ahli PAS dan masyarakat setempat.
“Program ini adalah projek mega Harakah selepas pelancaran Portal HD Premium secara atas talian bagi memperkasakan lagi kegemilangan Harakah cetak ini.
“Cetakan Harakah juga lebih ringkas, kolum pembacaan yang menarik, struktur penyusunan berita lebih strategik dan pengisian yang sangat eksklusif.”
Tambah Zainab, perbezaan di antara berita di Portal HD Premium dan cetak adalah berita portal lebih kepada isu atau berita yang bersifat segera manakala cetakan Harakah akan mengupas lebih mendalam tentang sesuatu isu.
“Bagi peminat Harakah dari dulu hingga sekarang, khususnya kepada ahli PAS, segera langgan supaya Harakah lebih cepat sampai ke rumah anda. Anda order, kami hantar,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















