Fahaman liberal pula merebak di Malaysia

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Rakyat di negara ini bukan sahaja terpaksa menanggung penderitaan angkara krisis ekonomi tetapi juga dilanda dengan fahaman liberal.”

Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, rakyat sudah pun menderita dengan krisis-krisis ekonomi seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup dan seumpamanya.

- Advertisement -

“Namun begitu, sekarang ini berlakunya pula penularan wabak liberal dalam kalangan rakyat negara ini yang mana satu daripadanya ialah berkahwin tak nak ada anak (childfree).

“Ini kerana alasan yang mereka berikan ialah kenaikan harga barang yang membebankan dan perkara sebegini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dalam negara ini,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Gelombang Selamatkan Malaysia yang diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS Datuk Seri Idris Ahmad; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden, bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mantan Ketua Penerangan Umno Isham Jalil; dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Menurut beliau, pentadbiran negara pada hari ini sudah dikuasai oleh golongan yang mengamalkan fahaman liberal.

Tambah beliau, mereka sudah pun mula menyebarkan ideologi yang mula mengganggu institusi-institusi keluarga itu sendiri seperti kahwin tak nak anak (childfree marriage).

“Sekarang rakyat bukan sahaja perlu menghadapi tekanan kenaikan pelbagai harga barang tetapi juga dilanda dengan ideologi tersebut.

“Satu daripada tujuan perkahwinan adalah bagi mendapatkan zuriat tetapi pada hari ini alasan untuk kahwin tak nak anak adalah kerana tekanan hidup, sibuk bekerja dan seumpamanya.

“Ini berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Islam iaitu kita yakin bahawa setiap anak akan membawa rezeki masing-masing.

“Lagipun, zaman dahulu pun susah juga tetapi ibu bapa kita masih boleh menjaga kita dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, laporan media tempatan melaporkan trend ‘childfree lifestyle’ atau perkahwinan tanpa perancangan mendapatkan zuriat, dibimbangi bukan sahaja akan merosakkan institusi kekeluargaan, malah melahirkan masyarakat pincang.

Mengulas lanjut, sehubungan itu, Ustazah Salamiah menyatakan kerajaan pada masa ini tidak lagi mampu menipu rakyat seperti dahulu.

Ini kerana, kata beliau, kini masyarakat mempunyai akses untuk mendapatkan pelbagai sumber media lain bagi mendapatkan kebenaran dalam apa jua isu.

“Jadi, kerajaan harus sedar bahawa mereka tidak lagi boleh menipu rakyat seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

“Mari kita sama-sama menyelamatkan Malaysia kerana tidak boleh lagi membiarkan pelbagai krisis untuk terus melanda kepada kita semua sebagai rakyat negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2024

- Advertisement -