
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kesal berhubung keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San yang telah memutuskan kerusi DUN Selat Klang tidak perlu dikosongkan.
Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan yang dilakukan oleh Speaker itu adalah bersifat ‘kepartian’ dan bukan lagi bersandarkan kepada perlembagaan dan undang-undang.
“Kita lihat tadi, ada kecenderungan Speaker untuk mencampuri urusan dalaman parti. Ini merupakan satu kesalahan yang besar.
“Saya telah menarik perhatian Speaker ketika saya bertemu dengan beliau pada 21 Jun yang lepas berhubung Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan keputusan sesuatu parti politik tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya, atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif,” katanya.
Tambah beliau, dalam akta dan undang-undang yang sama turut menyebut bahawa tidak ada mana-mana mahkamah yang ada kuasa untuk mendengar sebarang rayuan di atas keputusan parti.
“Parti politik termasuk Bersatu tidak pernah memecat Datuk Abdul Rashid (ADUN Selat Klang). Maka, keputusan yang dibuat oleh Speaker tadi salah, yang memberikan gambaran bahawa Bersatu memecat Datuk Abdul Rashid, sedangkan kita tak pecat,” tambahnya.
Pihaknya dalam pada itu turut kesal dengan keputusan Speaker yang menamatkan Sidang DUN Selangor tujuh hari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan di dalam proklamasi yang dibacakan oleh Setiausaha Dewan pada 4 Julai lalu.
“Ini satu sikap yang tidak profesional. Dia tangguhkan sidang pada hari ini dan keputusan ini dibuat di hujung sesi. Bila nak tangguh, barulah Speaker buat keputusan dan terus tangguh.
“Apakah rakyat negeri Selangor nak diperbodohkan? Ini bukan satu sikap yang beretika sebagai seorang Speaker. Sepatutnya kalau dia berani membuat keputusan, dia juga harus berani mendengar dan mempertahankan keputusan tersebut,” tambahnya.
Oleh itu, pihaknya akan meneliti keputusan Speaker berkenaan dan akan mengambil langkah-langkah seterusnya kerana ia merupakan satu krisis perlembagaan yang tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Kita akan merujuk kepada peguam-peguam yang telah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!




















