
KUALA LUMPUR: “Hari ini, saya nak masuk ke Hansard supaya anak-anak muda dan rakyat Malaysia tahu betapa hipokritnya Pakatan Harapan (PH).”
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mendakwa Pakatan Harapan (PH) hipokrit selepas speaker mengumumkan enam kerusi parlimen tidak perlu dikosongkan.
Menurutnya, jika ada sesuatu perkara yang menguntungkan pihak PH, prinsip-prinsip yang diperjuangkan PH hilang dan jika sebaliknya, mereka akan pusing mencari alasan, sedangkan hakikatnya tugas dan tanggungjawab speaker adalah secara teknikal sahaja.
“Kita masih ingat pada waktu itu, berdegar-degar semua menceritakan bahawa apa yang berlaku dalam konteks yang dipanggil Langkah Sheraton itu, satu pengkhianatan kepada undi rakyat.
“Pada waktu itu disebut satu pengkhianatan, sedangkan tiada Rang Undang-Undang (RUU) yang membenarkan mereka pindah ke mana-mana parti.
“Mereka yang melompat parti dihina, dikutuk dan dikata macam-macam oleh PH.
“Maka,datanglah semangat kononnya bahawa kita perlu menghormati undi yang diberikan oleh rakyat,” katanya sewaktu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 berkaitan keputusan Yang Dipertua berkenaan ‘sebarang perkara tafsir dalam mana-mana peraturan mesyuarat atau berkenaan kelaziman adalah muktamad’ di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Ahli parlimen Putrajaya itu, semangat perlembagaan jelas bahawa apabila parti telah membuat keputusan jika seseorang itu terhenti menjadi ahli (cease to a member), maka parti akan bawa kepada speaker dan pihaknya perlu menyatakan bahawa kerusi tersebut telah kosong.
“Status bekas enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini diundi oleh rakyat kerana mereka bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
“Kita perlu ingat, siapa yang bercakap, ia perlu bertanggungjawab. Apa Yang Berhormat Yang Dipertua semua akan ‘quote’ apa yg disebut oleh Yang Berhormat,” katanya.
Terdahulu, enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dihentikan keahliannya.
“Sebab itu saya merayu pada sahabat-sahabat sebelah sana berlakulah adil pada jiwa, akal, diri sensdiri dan berlakulah adil pada rakyat bahawa semangat pindaan perlembagaan adalah untuk mengelak siapa jua melompat parti menjadi sepertimana yang berlaku pada enam orang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!











