
KUALA LUMPUR: Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat tafsiran terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam isu enam Ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan adalah melangkaui kuasa yang diberi Perlembagaan kepadanya.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 49(a) tidak memberi kuasa kepada Speaker selain daripada untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan.
“Apabila Yang Dipertua menerima satu notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat di bawah perkara ini, Yang Dipertua hendaklah memastikan, ‘memastikan’ Tan Sri, bahawa berlakunya kekosongan luar jangka. ‘Memastikan’.
“Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 49(a) ini tidak memberi kuasa kepada Tan Sri selain daripada untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan Tan Sri. Bukan untuk membuat keputusan,” katanya.
Namun, kata beliau, dalam dua utusan surat yang diterimanya daripada Speaker jelas menunjukkan bahawa Speaker telah bertindak ‘membuat keputusan’ selain membuat interpretasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Para 8, dalam surat jilid 6 (23) dalam para lapan secara jelas menyatakan bahawa ‘oleh itu setelah meneliti semua dokumen yang dikemukakan saya mendapati arahan akan di bawah Fasal 10(3) Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dan menafikan hak kelima-lima Ahli Dewan Rakyat’.
“You are interpreting Perlembagaan Persekutuan bahawa Perlembagaan Bersatu itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga Ketua Whip Bersatu.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat petang semalam sewaktu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 berkaitan keputusan Yang Dipertua berkenaan ‘sebarang perkara tafsir dalam mana-mana peraturan mesyuarat atau berkenaan kelaziman adalah muktamad’.
Tambahnya, dalam surat kedua jilid 6 (22) Speaker kepadanya, Speaker mengungkap perkara subjudis terhadap Ahli Parlimen Labuan bahawa perkara itu subjudis dan beliau (Speaker) tidak membuat keputusan menyebabkan kerusi Labuan tidak dikosongkan.
“Kedua-dua surat Tan Sri ini melangkaui kuasa Tan Sri di bawah Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan kerana dalam perkara 49 (3) Tan Sri hanya diberi kuasa untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan.
“Apatah lagi Tan Sri mempertikaikan pindaan perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan oleh ROS secara rasminya pada kita,” katanya.
Ronald turut mengingatkan Johari terhadap kata-kata yang pernah diungkapkannya semasa Speaker Dewan Rakyat itu mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan akta tersebut dalam penggal lepas sewaktu masih menjadi Ahli Dewan Rakyat.
“Tan Sri ketika berucap menyokong pindaan pewujudan Perkara 49(a) ini mengungkapkan bahawa ‘kita tidak boleh biarkan penghijrahan Ahli Parlimen kerana ia akan menjahanamkan negara’.
“Tetapi keputusan Tan Sri melalui dua surat ini sebenarnya telah menjahanamkan hasrat dan niat Perkara 49(a) seolah-olah Akta Lompat Parti tidak wujud disebabkan oleh tindakan dan keputusan Tan Sri,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!











