‘Jangan lengahkan status kekosongan DUN Selat Klang’

Mohamed Sukri Omar (kanan) dan Lau Weng San
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San agar tidak lagi melengahkan-lengahkan masa bagi memutuskan status kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Selat Klang.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, Speaker mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat keputusan penting ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor Fasal 65 (3).

- Advertisement -

“Apabila Speaker Dewan menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Negeri mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Negeri di bawah Perkara ini, Speaker Dewan hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu,” katanya merujuk kepada undang-undang berkenaan.

Menurut beliau, usaha menghantar notis kekosongan tersebut telah dibuat oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Azmin Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Shafie Ngah pada 21 Jun 2024 yang lepas.

“Jika diperkirakan, Speaker Dewan Negeri Selangor hanya mempunyai tempoh sehingga Khamis 11 Julai 2024 untuk menentukan status kerusi Selat Klang.

“Jika tidak, proses mahkamah terpaksa diambil untuk menentukan status kerusi tersebut.

“Apakah yang menjadi halangan kepada Speaker untuk mengosongkan kerusi Selat Klang sedangkan ADUN Selat Klang tersebut secara jelas telah melanggar Perlembagaan parti Bersatu menyebabkan keahliannya terhenti serta-merta?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam, keadaan ini menyebabkan ADUN Selat Klang wajib mengosongkan kerusinya selaras Akta Anti-Lompat Parti yang telah digazetkan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Speaker agar segera mengosongkan kerusi Selat Klang dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan wakil rakyat baharu bagi menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari yang telah mengkhianati mandat rakyat.

“Biarkan rakyat yang memilih!” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -