
SEMENYIH: Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memutuskan bekalan elektrik untuk lampu isyarat di simpang empat Bandar Bukit Mahkota dan Bandar Seri Putra (BBM-BSP) sejak 16 April lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, pihaknya akan bertemu dengan semua pemegang taruh yang terlibat dengan operasi lampu isyarat di simpang ini pada Selasa depan.
Nushi berkata, tindakan ini diambil kerana terdapat sejumlah tunggakan bil atas nama Pemaju A yang tidak dibayar sejak 2016 lagi.
“Oleh demikian, Pemaju B yang sedang menjalankan kerja-kerja pelebaran jalan di kawasan tersebut telah mengambil inisiatif untuk menyambung bekalan elektrik sementara demi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemaju A pula mendakwa mereka telah menyerahkan tanggungjawab lampu isyarat ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi dakwaan ini perlu disahkan melalui dokumen perjanjian berkaitan yang akan diteliti ketika pertemuan nanti.
“Sementara itu, pihak JKR telah meminta Pemaju B untuk memindahkan nama bil elektrik lampu isyarat ini kepada syarikat mereka, dan meminta mereka untuk menjelaskan tunggakan yang ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nushi berkata, Pemaju B pula merasa adalah tidak adil untuk mereka melangsaikan tunggakan bil ini.
“Minggu depan kami akan bertemu untuk berbincang dan mencari titik persetujuan bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kami mohon semua penduduk untuk bersabar dan mendoakan agar urusan ini dipermudahkan. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk Semenyih sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024




















