Mesej pengundi mula benci, tolak, protes Kerajaan Madani

Shahbudin Husin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesej paling jelas dan mudah difahami daripada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ialah pengundi mula benci, menolak dan menunjukkan tanda protes kepada kerajaan Madani.

Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, meskipun Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon yang dikira mempunyai pakej hampir sempurna, ditambah dengan sejumlah besar menteri turun berkempen, disertai lagi dengan pengumuman banyak projek pembangunan, namun kekalahan tidak juga dapat dielakkan.

- Advertisement -

“Tidak cukup dengan kalah, tetapi jumlah undi kekalahan calon PH turut meningkat hampir tiga kali ganda berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang yang diadakan hanya kira-kira setahun yang lalu.

“Selepas kalah di Sungai Bakap, Anwar Ibrahim (PMX) kata kerajaan Madani dengan tawaduk menerima kekalahan itu, menghormati suara pengundi dan sedia untuk memperbaiki lagi perkhidmatan kepada rakyat.

“Malangnya, semua kata-kata Perdana Menteri itu hanya pemanis di bibir saja,” katanya. 

Tambah beliau, jika kekalahan di Sungai Bakap dikesan akibat dua isu utama yang memualkan lagi gambaran cakap tak serupa bikin kerajaan Madani iaitu Blackrock dan menaikkan harga diesel, hanya beberapa hari selepas kononnya kerajaan bertawaduk dengan kekalahan tersebut, keangkuhan menunjukkan kuasa sudah mula dipamerkan dengan membakul-sampahkan Akta Anti Lompat Parti yang sebelum ini diperjuangkan oleh PH sendiri.

“Tindakan Speaker menolak kekosongan enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya telah khianat dan diumumkan terhenti keahliannya daripada Bersatu, kemudian keputusan itu disokong dengan penuh bangga oleh Anwar, semua ini hanya menunjukkan satu perkara.

“Semata-mata kerana ada kuasa, selain Blackrock kekal ingin dibawa, membakul-sampahkan Akta Anti Lompat Parti yang diperjuangkan selama ini pun seumpama makan kacang saja,” ujarnya.

Shahbudin dalam pada itu menegaskan, kuasa yang dipinjamkan Tuhan sebagai kerajaan sepatutnya digunakan untuk berkhidmat dan menambah sokongan, bukan mencambahkan lagi kebencian.

“Ertinya, kuasa dan keangkuhan diri setelah beroleh nikmat sementara sebagai kerajaan yang dipinjamkan Tuhan dengan mudah boleh membuatkan manusia lupa diri dan mencampakkan jati diri sendiri.

“Kalau mahu dihitung, banyak lagi perkara-perkara yang dilakukan oleh kerajaan Madani ini yang membuatkan rakyat terluka dan terpedaya dengan retorik perjuangan suci sebelum kuasa diperolehi, lalu menyimpan benci di dalam hati.

“Sebelum bertemu peti undi, yang pasti, rakyat memang berhak untuk terus membenci kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

- Advertisement -