
KUALA LUMPUR: Isu penyelewengan dana yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang berlaku dalam HDR Corp ini perlu diselesaikan segera kerana sudah melibatkan tiga Menteri daripada tahun 2018 sehingga 2023.
QGenAnalysts dalam kenyataannya berkata, Kementerian Sumber Manusia perlu menggantung pihak atasan serta memberikan makluman berterusan bagi membuktikan ketegasan pihak kementerian dalam melawan sebarang penyelewengan.
“Selain itu, tindakan yang tegas dan telus perlu diambil untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap agensi-agensi kerajaan dan memastikan dana awam digunakan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan kelemahan dalam pelaksanaan beberapa projek kerajaan dab Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan bahawa RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Berikutan penemuan ini jelasnya, Kementerian Sumber Manusia telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu-isu berkaitan HRD Corp dan susulan laporan ini, SPRM telah menyerbu pejabat HRD Corp untuk siasatan lanjut.
Isu ini jelasnya trending di kalangan netizen dengan pendapat yang bercampur-campur, antaranya di Facebook, 60 peratus memberikan interaksi negatif terhadap HRD Corp dengan majoriti mengenai penyelewengan dana awam apabila digunakan untuk melabur.
“Sebanyak 20 peratus pula negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Kementerian Sumber Manusia, dan SPRM dengan pendapat bahawa isu ini hanya sementara dan tiada tindakan akan diambil.
“Di platfom TikTok, 25 peratus netizen memberikan interaksi negatif terhadap SPRM dengan komen bahawa mereka sudah tidak percaya dengan SPRM dalam melakukan siasatan, manakala 20 peratus lagi negatif terhadap HRD Corp dengan komen menyuruh ditangkap semua yang terlibat.
“Di platform X pula, 70 peratus negatif terhadap HRD Corp dengan netizen menyamakan syarikat ini seperti 1MDB serta 20 peratus negatif terhadap Menteri Sumber Manusia dengan mempersoalkan mengapa tiada tindakan tegas diambil,” kata QGenAnalysts. – HARAKAHDAILY 12/7/2024




















