Sasar lebih 200,000 pengunjung untuk mencandat sotong

Razali Idris pada majlis perasmian 'soft launching' Musim Candat Terengganu 2024 di Jeti Marang, Kuala Terengganu, Terengganu.
- Advertisement -

MARANG:Kerajaan negeri menyasarkan lebih 200,000 kehadiran pelancong ke negeri ini untuk mengikuti aktiviti mencandat sotong yang bermula dari April hingga September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, angka tersebut berkemungkinan melebihi dari sasaran asal.

- Advertisement -

“Saya jangka lebih daripada itu, pasal kita kira bot yang terbabit dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau perikanan sahaja, bot pesisir, bot ke laut kita tidak kira. 

“Namun yang pastinya, bot di Kuala Marang ini sentiasa tidak cukup pada waktu mencandat sotong ini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian ‘soft launching’ Musim Candat Terengganu 2024 di Jeti Marang, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd. Rahman.

Menurut Ridzwan, dianggarkan hampir 500 bot turun ke laut setiap hari dengan lebih 5,000 pencandat yang mengambil bahagian dalam aktiviti mencandat sotong di sekitar Pulau Kapas dan lokasi-lokasi pilihan lain di Terengganu pada tahun ini.

“Sebahagian besar pelancong akan mengambil pakej mencandat sotong biarpun ramai dalam kalangan mereka belum pernah mencuba aktiviti itu.

“Selain perairan Pula Kapas, Marang, lokasi terbaik untuk mencandat sotong di Terengganu adalah sekitar perairan Pulau Perhentian, Besut; Pulau Chepu, Setiu; Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus; Pulau Gemias, Marang; Kg. Gong Balai, Marang; Rantau Abang, Dungun; dan Kuala Dungun, Dungun,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -