ADN Panching ziarah keluarga mangsa kemalangan maut

Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya (tengah) bersama bapa Allahyarham Naufal (kanan beliau) sewaktu menziarahi keluarga mangsa.
- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Khairul Naufal Nor Hashim, 16, yang meninggal dunia, kelmarin.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan kematian anak muda itu sebagai ‘tragedi langgar lembu’ yang berlaku di Kampung Sungai Charu.

Naufal yang tinggal di Kampung Panching disahkan meninggal dunia pada jam 4.39 petang Isnin lalu di Hospital Sultan Ahmad Shah Medical Centre @ IIUM, Indera Mahkota.

Allahyarham dimasukkan ke pusat perubatan itu setelah motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira jam 9.00 malam, Ahad lalu.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Tarmizi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham, juga menerusi laman sosial beliau.

“Salam takziah buat keluarga arwah dan sahabat rapatnya yang ramai hadir solat jenazahnya. Semoga Allah merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya. Menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ujarnya.

Sementara itu, Harakahdaily dimaklumkan beberapa kemalangan maut yang melibatkan lembu berkeliaran di atas jalan berlaku di sepanjang jalan sekitar Kampung Panching menghala ke Sungai Lembing. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -