
KUALA LUMPUR: “Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada hari ini sudah menjadi kuasa besar yang tidak lagi mempunyai harga diri.”
Naib Presiden 1 Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Asmawar Samat berkata, ia adalah susulan kedutaan AS di Malaysia telah menolak penerimaan sebarang memorandum daripada semua pihak di negara ini yang mengecam dan membantah kekejaman Zionis Israel ke atas umat Islam di Palestin, memandangkan negara itu sememangnya bersubahat dengan negara haram tersebut.
“Pada 21 Jun 2024 lalu, satu perhimpunan aman yang diadakan di persimpangan Jalan Pekeliling berhadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selepas menunaikan solat Jumaat di bangunan Tabung Haji bagi tujuan menyampaikan memorandum bantahan tersebut.
“Namun begitu, bukan sekadar tiada seorang pun wakil kedutaan itu bersedia untuk menerimanya, malah pintu pagar kedutaan AS sendiri ditutup rapat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sifat sebegini mengesahkan sikap kerajaan AS yang sememangnya berpura-pura mendokong demokrasi dan hak asasi manusia.
Tambah beliau, umat Islam pada hari ini seolah-olah tidak dapat bangkit daripada tekanan dan cengkaman musuh-musuh Islam terutamanya negara-negara Arab yang tidak dapat berbuat apa-apa ketika berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Sehubungan itu, Presiden PUTRA (Datuk Dr Ibrahim Ali) menyifatkan para aktivis yang hadir di perhimpunan itu seumpama ‘burung pipit’ iaitu walaupun dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tidak signifikan namun tanpa henti berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim dan akhirnya tibanya bantuan Allah SWT kepadanya.
“Bagi mereka yang dahulunya ‘jaguh-jaguh reformasi’ yang kini menerajui kerajaan, tidak ada yang bergolek-golek di jalan raya untuk mengecam dan mengutuk kekejaman Zionis Israel.
“Daripada mereka bergolek-golek di jalan raya suatu ketika dahulu, kini tidak ada kedengaran suara mereka menentang penjualan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock yang merupakan pembekal senjata kepada Israel yang membunuh wanita, kanak-kanak dan warga rakyat Palestin yang tidak berdosa sudah melebihi 40,000 yang mati dibunuh dengan kejam.
“Memorandum bantahan tidak sewajarnya ditolaknya oleh pihak Kedutaan AS.
“Namun tindakan sebegitu menunjukkan bahawa kerajaan AS telah mencemari diri dengan memberikan contoh yang tidak baik seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus di pentas politik dunia,” tegasnya.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Asmawar menyatakan, seharusnya memorandum merupakan aduan pandangan rakyat kepada pihak berkuasa yang mana prinsipnya ialah supaya aduan atau kritikan yang dianggap sebagai maklum balas yang berharga.
“Perkara tersebut boleh didapati dalam buku tulisan Janelle Barlow dan Claus Moller yang telah diterima pakai dalam sesi pembelajaran di institusi pendidikan tinggi dan pentadbiran negara AS itu sendiri,” jelasnya.
Kata beliau lagi, penolakan memorandum tersebut telah menguatkan lagi pihak aktivis untuk terus mendesak kerajaan supaya menolak pelaburan BlackRock daripada membeli dan memiliki 30 peratus saham dalam MAHB.
“Malah, pembelian sebahagian saham MAHB oleh syarikat BlackRock akan membuka ruang untuk kuasa-kuasa barat menganggugugat kedaulatan negara ini berdasarkan strategi yang mana mereka akan membeli saham, bon (surat hutang kerajaan), dan projek-projek penswastaan yang ada ada kaitan dengan infrastruktur mana-mana negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan jalan raya.
“Ini adalah strategi baharu Kumpulan 7 (G7) untuk menjajah dan menguasai ekonomi mana-mana negara terutamanya negara yang miskin dan membangun,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga menempelak PMX yang sebelum ini telah menegur golongan aktivis di negara ini supaya jangan cuba untuk menjadi perwira (hero).
“Namun, adakah beliau (PMX) lupa bahawa mereka (golongan aktivis) melakukan ‘amal makruf nahi mungkar’ (ayat yang berasal daripada peristilahan ayat al-Quran yang bermaksud ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’, iaitu mengajak kebaikan ialah mengajak manusia kepada Allah atau mentaati perintah Allah SWT)…lebih-lebih lagi mengenai isu Palestin seperti mana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri?
“Tindakan golongan aktivis ada kewajarannya demi mengelakkan rakyat negara ini daripada terus terbabit sama dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.
“Semoga kita sebagai rakyat Malaysia tidak termasuk dalam lembah kehinaan dan kesesatan Dajjal yang sedang cuba memerintah dunia pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024




















