
KUALA LUMPUR: Jawapan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang mempertahankan polisi pelancongan di negeri-negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang mematuhi syariah menimbulkan suasana gamat dan tepukan gemuruh Ahli-ahli Parlimen PN.
Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) sewaktu mengajukan soalan tambahan terhadap soalan asalnya meminta menteri menyatakan apakah tindakan dilakukan kementerian terhadap sesetengah negeri yang melaksanakan polisi-polisi yang tidak mesra dengan pelancong asing.
Antara polisi tersebut, dakwanya, seperti tidak boleh mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya yang menurutnya mengurangkan daya saing lokasi pelancongan negara berbanding lokasi negara-negara jiran.
Khairul dalam jawapannya itu berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Teresa sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup terkawal dan cukup baik.
“Saya mohon supaya kita tidak perlu memperlihatkan perkara-perkara yang sebenarnya tidaklah menjadi satu perkara yang cukup serius di negara kita,” ujarnya.
Katanya, pada dasarnya beliau bersetuju dengan saranan Seputeh bahawa dalam persaingan di antara negara-negara yang lain Malaysia perlu memfokuskan beberapa niche sector.
“Baru-baru ni apabila kita ke Pulau Langkawi. Kita tahu untuk Pulau Langkawi bersaing hebat dengan pulau di negara jiran kita, mungkin agak susah.
‘Itu sebabnya mungkin kita akan memposisikan Langkawi sebagai pulau preferred Muslim destination supaya ia lebih ke arah kekeluargaan, lebih ke arah keredaan ataupun ke arah kerohanian,” ujarnya.
Jelas beliau, kerana itu setiap setiap negeri memainkan peranan dalam memposisikan kelebihan unik di tempat masing-masing untuk diketengahkan.
“Tidak perlu setiap negeri melakukan perkara yang sama kerana ia akan menjejaskan dari sudut kompetitif itu sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi.
Sementara itu, Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang bangun bagi mengajukan soalan tambahan turut sama membidas tindakan Teresa yang dilihat sering membangkitkan isu tersebut di dalam Dewan Rakyat.
“Saya memang terpanggil bila Seputeh sebut seluar pendek ni. Tak habis-habis! Alhamdulillah, Timbalan menteri telah menjawab dengan begitu baik sekali.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada timbalan menteri yang boleh kata tiap-tiap bulan ada di Langkawi. Beliau begitu fokus. Kita telah pun berbincang berbagai-bagai masalah tentang Langkawi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024











