
BRICS adalah satu kerjasama ekonomi antara beberapa negara yang dibentuk melalui akronim Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Istilah ini pada awalnya dikenali sebagai BRIC (tanpa Afrika Selatan) yang diperkenalkan oleh Menteri Ekonomi Brazil, Goldman Sachs Jim O’Neill pada tahun 2001, dengan sasaran menjelang 2050 empat negara BRIC ini akan menguasai ekonomi global sebelum penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Keanggotaan BRICS kini bertambah dengan penyertaan enam lagi negara iaitu Argentina, Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kesemua negara-negara ini telah dijemput untuk menjadi ahli BRICS pada awal Januari 2024 oleh Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, selaku tuan rumah dalam sidang kemuncak tiga hari mereka di Johannesburg.
Walau bagaimanapun, Presiden baharu Argentina, Javier Milei, telah menarik diri daripada BRICS disebabkan pendirian beliau yang lebih rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, mencerminkan peralihan ke arah populisme sayap kanan dalam dasar luarnya.
Merujuk kepada kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali, namun sifat negara kita ini sangat terbuka dalam hal berkaitan ekonomi dan perdagangan terutama pergantungannya terhadap ekonomi AS sebagai negara pengimport terbesar negara, jadi apakah kesan besar pada dasar ekonomi negara jika Malaysia menyertai BRICS?
Secara umum kita mengetahui bahawa Malaysia dan AS merupakan negara yang bekerjasama rapat dalam hal keselamatan, ini termasuk memerangi keganasan, penguasaan maritim dalam membina kestabilan serantau.
Kedua-dua negara mempunyai sejarah panjang dan kerap mengambil bahagian dalam latihan dan lawatan dua hala dan pelbagai hala dalam membina hubungan ekonomi yang teguh.
Penarikan Argentina dalam BRICS telah membina persepsi jurang pertembungan tiga kuasa besar dunia AS melawan China dan Rusia yang mahu membina kesatuan empayar perdagangan ekonomi dunianya sendiri, namun tidak mensasarkan untuk merampas kedudukan Dolar AS walaupun dianggotai oleh negara-negara pesaing terbesar seperti China, Russia dan Iran.
China Yuan atau renminbi ketika ini menjadi mata wang utama dalam perdagangan antara negara-negara BRICS dalam usaha untuk mengecilkan saiz dominasi Dolar AS dalam wilayah mereka tersendiri.
Walaupun BRICS tidak menggunakan Dolar AS, kebanyakan dunia masih akan menggunakan mata wang tersebut kerana penguasaan monetari global lebih kepada multipolar daripada unipolar.
Namun ada kemungkinan satu mata wang pegangan utama baharu akan diperkenalkan dalam BRICS.
Bagi penulis, Malaysia perlu lebih banyak kajian dan tidak perlu terburu-buru dalam menentukan hala tuju ekonomi negara dengan menyertai BRICS, kerana ia mungkin mengubah Malaysia kepada konflik lebih besar dengan sekutu Amarika seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan sebagainya.
Secara teorinya, walaupun kesatuan mata wang antara negara-negara BRICS boleh menyumbang hampir satu pertiga daripada KDNK global, dan menjadi alternatif yang menarik kepada dolar namun cadangan penubuhan mata wang baharu boleh menimbulkan pelbagai cabaran yang kompleks.
Ditambah pula jurang ekonomi dalam kalangan ahli BRICS boleh membawa kepada faedah yang tidak seimbang daripada inisiatif kumpulan.
Malah, perbezaan ekonomi Malaysia mempunyai jurang yang sangat besar dalam kalangan ahli BRICS yang lain.
Negara ekonomi yang lebih besar seperti China, Russia cenderung untuk mendominasi serta membuat keputusan dan berpotensi meminggirkan ahli yang lebih kecil dan seterusnya menghalang pengagihan manfaat yang saksama.
Jika Malaysia menyertai BRICS, maka soalan yang Perdana Menteri perlu jawab selepas ini: “Apakah manfaat terbesar Malaysia perolehi dalam BRICS?
“Mampukah Malaysia yang masih mempunyai hubungan perdagangan ekonomi yang kuat dengan USA, Jepun dan negara-negara Eropah G7 ini dapat bertahan dengan BRICS?.”
SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) – HARAKAHDAILY 24/6/2024




















