
NABI Zakaria berkahwin dan tidak memperoleh anak dalam tempoh perkahwinan yang agak lama. Ada riwayat mengatakan umurnya sudah mencecah lapan puluh tahun masih tidak memperoleh anak lagi. Nabi Zakaria dan isterinya sudah berikhtiar sehabis baik.
Nabi Zakaria memelihara seorang anak perempuan yang bernama Maryam. Ibu Maryam bernazar mahu anak lelaki untuk dihantar ke pengajian pondok seumpamanya, tetapi Allah mentakdirkan anak perempuan.
Pada awalnya, dia bersedih. Namun, berkat doanya, anak perempuannya seorang anak yang baik dan solehah. Diberi nama Maryam. Dihantar ke pondok untuk belajar mengaji bersama dengan Nabi Zakaria. Berada di dalam bilik bersendirian dan tiada siapa pun boleh mengganggunya.
Pada suatu ketika, Nabi Zakaria berasa hairan. Di saat masuk ke bilik Maryam untuk menghantar makanan, tetapi makanan sudah pun ada. Sedangkan hanya Nabi Zakaria yang memegang kunci biliknya. Ada buah-buahan yang bukan pada musimnya dan pelbagai makanan yang sedap.
Nabi Zakaria bertanya kepadanya. Maryam menjawab datang daripada Allah. Ia merupakan keramat Maryam kerana seorang yang sangat baik.
Nabi Zakaria turut berdoa:
رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Maksudnya “Janganlah Engkau biarkan aku seorang diri.”
Bagi orang yang tidak mempunyai anak atau sukar untuk mendapat anak, bacalah doa ini. Insya-Allah dengan izin-Nya akan memperoleh anak, tetapi mesti bersabar.
Nabi Zakaria dalam keadaan yang sudah tua terkejut apabila malaikat turun memberitahu bahawa baginda akan memperoleh anak.
Malaikat berkata, “Ini kerja Allah. Terpulang padaNya nak buat macam mana.” Lalu, Nabi Zakaria berkata, “Berilah kepadanya tanda nak memperoleh anak.”
Allah menjawab:
قَالَ آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلَاثَ لَيَالٍ سَوِيًّا
Ada dua tafsiran, yang pertama, “Kamu mesti puasa dan jangan bercakap dengan orang selama tiga hari.” Nak bercakap perlu menggunakan bahasa isyarat.
Tafsiran yang kedua pula mengatakan bahawa dia tidak boleh bercakap selama tiga hari. Tidak keluar perkataan daripada mulutnya seperti orang bisu dan dia hanya menggunakan bahasa isyarat. Inilah tanda bahawa Nabi Zakaria akan memperoleh anak.
Setelah memperoleh anak, diberinya nama Yahya. Yahya merupakan nama yang pertama dan tiada lagi nama seperti itu sebelum daripada ini.
Hubungan antara Nabi-nabi dengan Allah adalah rapat. Mereka sentiasa berdoa, bercakap dan menyampaikan hasrat kepada Allah. Oleh sebab itu, mereka sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT.
Kehidupan kedua-dua Nabi ini iaitu Nabi Zakaria dan Nabi Yahya berakhir dengan kesedihan. Sebab mereka mati dibunuh oleh Bani Israel. Betapa jahatnya mereka sehingga sanggup membunuh Nabi-nabi mereka sendiri. Kaum lain hanya melawan Nabi mereka, tetapi Bani Israel sampai ke peringkat membunuh. – HARAKAHDAILY 24/6/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















