
ANTANANARIVO: Bermatlamat mengatasi dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, Madagascar telah membina rangkaian sistem kereta kabel di ibu negaranya sebagai satu pilihan baru pengangkutan awam di kawasan berkenaan.
Setiausaha Negara bagi Bandar Baru dan Perumahan, Gerard Andriamanohisoa berkata, kereta kabel itu mampu membawa seramai 75,000 penumpang sehari, dan telah direka bentuk bagi mengurangkan kesesakan di bandar berkenaan yang mempunyai seramai tiga juta penduduk, lapor Africa News.
“Ia mampu mengurangkan 75,000 penumpang setiap hari yang menggunakan bas, mengurangkan sejumlah 2,000 buah kereta di laluan jalan raya Tana. Ini sudah cukup banyak penjimatan dari segi karbon dan terutamanya mobiliti,” katanya.
Pengangkutan awam baharu itu dibina dengan pinjaman pembinaan sebanyak 152 juta Euro (RM766 juta) yang disalurkan oleh kerajaan Perancis dan akan mempunyai laluan sepanjang 12 kilometer.
Fasa ujian telah dijalankan sejak awal bulan Jun bagi menilai tahap keselamatannya sebelum ia dijadualkan mula beroperasi pada 2025.
Sementara itu, terdapat penduduk di kawasan berkenaan yang tidak gembira dengan pembinaan kereta kabel itu dengan mendakwa pihak kerajaan seharusnya memberikan tumpuan bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air.
“Kami tidak mempunyai air, kami tidak mempunyai bekalan elektrik. Apabila kita tidak mempunyai bekalan air, hanya lumpur sahaja yang keluar dari paip walaupun kami telah membayar bil air. Kenapa tidak menyelesaikan masalah sosial ini dahulu?” ujar Henry Razafimanantsoa yang merupakan penduduk di sini.
Presiden Madagascar, Andry Rajoelina dalam pada itu mempertahankan pembinaan kereta kabel berkenaan, di sebalik kecaman rakyatnya yang mengatakan ia hanya akan menambahkan lagi hutang negara itu kepada Perancis, yang merupakan bekas penjajah negara Afrika Timur itu.
“Kita harus berani mengubah dan membangunkan negara kita. Selalunya orang yang mengkritik tidak boleh berbuat apa-apa. Sama ada kita sepatutnya melakukan projek ini atau tidak, saya katakan ya.
“Anda tahu, terdapat banyak kritikan terhadap pembinaan Menara Eiffel. Tetapi apakah sekarang yang menarik pelancong ke Perancis? Bukankah itu Menara Eiffel?” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 24/6/2024




















