
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mencatat kemenangan sulung musim ini apabila berjaya menumpaskan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.
Gol tunggal kemenangan pasukan kendalian Park Jae Hong itu diperolehi menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Oday Kharoub pada minit ke-28.
Tendangan penalti tersebut diberi susulan semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain pertahanan tuan rumah Michal Jerabek dijatuhkan dalam kotak penalti.
Tuah tidak menyebelahi KDN FC setelah skuad Sang Kijang Emas berpeluang menambah gol kedua tiga minit selepas rehat apabila sepakan leret pemain import, Valdumar Augusto menggegar jaring gol lawan.
Bagaimanapun gol tersebut dibatalkan apabila pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee mendapati Valdumar berada pada kedudukan ofsaid.
Dengan kemenangan itu, Kelantan kekal di tangga kedua tercorot selepas empat perlawanan manakala PDRM di tangga keenam.
Sebelum ini Penolong Pengurus KDN FC, Dato’ Mohd Rowi Dollah mengumumkan ada ganjaran khas sekiranya berjaya menewaskan PDRM FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/25.
“Keputusan itu dibuat sebagai usaha pihak pengurusan untuk mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan liga, di samping meningkatkan semangat pemain,” katanya.
Lebih 2,100 penonton pasukan tuan rumah hadir memberi sokongan pada perlawanan tersebut. – HARAKAHDAILY 24/6/2024




















