Ada parti cuba ‘bakar’ negara…

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tindakan parti DAP yang sedang giat mengadakan program taklimat untuk kewarganegaraan sekali gus memudah cara untuk mendapatkan kerakyatan adalah merupakan satu tindakan bahaya dan boleh diumpamakan sedang membakar negara.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sepatutnya tugas yang begitu penting ini tidak boleh dilaksanakan oleh organisasi kepartian bahkan ia merupakan bidang khusus Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri.

- Advertisement -

“DAP wajib menjelaskan secara terperinci apakah langkah yang dilakukan oleh individu bernama Yeap Choon Keong yang mendakwa dirinya ialah Pengarah Program Kewarganegaraan DAP Pulau Pinang yang telah berjaya membantu mendapatkan kerakyatan untuk beberapa individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa mengikut data di dalam media sosialnya sendiri, pada bulan Mei 2024, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan, lima kes pada bulan April dan tiga kes pada bulan Mac yang lepas.

“Justeru, mohon jelaskan, apa ‘kabel’ yang digunakan seingga mujarabnya usaha orang ini. Tidak cukupkah kaedah biasa di JPN dan KDN untuk menyantuni urusan ini?,” soal Ahmad Fadhli.

Menurut beliau lagi, amaran keras untuk pihak yang sedang membakar negara ini, jangan sekali-kali berani melakukan tindakan bodoh jika tidak ingin berdepan dengan tindakan undang-undang di kemudian hari.

“Rakan-rakannya dalam kerajaan juga jangan berpura-pura marah dan naik angin, kamulah yang sedang membantu menyemarakkan api,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -