TV Alhijrah perlu minta maaf secara terbuka

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menuntut pihak TV Alhijrah melakukan permohonan maaf secara terbuka mengenai penularan klip video ekstremis baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS melalui jabatan penerangannya telah mengesan sebuah video yang memaparkan tajuk Ghuluw dengan sedutan klip-klip video yang sangat ekstrem dipaparkan dalam sebuah laman web MyTV dan tertera ‘watermark’ TV Alhijrah yang berlegar di media sosial.

- Advertisement -

“Namun, dalam keadaan konten video yang sangat ekstrem yang memaparkan puak pelampau yang menggunakan agama Islam untuk menghalalkan kekerasan yang berlaku di negara timur tengah, terselit paparan sekumpulan ahli PAS dan Barisan Nasional (BN) seolah menggambarkan keganasan yang sama berlaku seperti di luar negara,” katanya.

Menurut beliau, PAS menegaskan ini adalah tindakan yang sangat jijik dan melampau dengan memaparkan perpecahan yang kronik dengan membawa tajuk Ghuluw yang sedang berlaku dalam negara ini.

“Naratif jahat ini sengaja ditimbulkan setelah mungkin beberapa siri kegagalan pihak kerajaan melaksanakan agenda reformasi dan menjadi punca kepada peningkatan kos sara hidup yang kian membeban rakyat.

“Lebih mengecewakan, aset media kerajaan seperti TV Alhijrah dijadikan tunggangan bagi meneruskan naratif jijik ini, sedangkan banyak lagi inisiatif yang baik gagal dimanfaatkan oleh siaran seperti ini akibat daripada polisi orang politik yang mengganggu urusan penjawat awam dalam melaksanakan tugas,” jelasnya.

Beliau menyatakan melalui sumber makluman dalaman, adalah dipercayai bahawa TV Alhijrah telah memperbaharui klip video tersebut setelah ditegur.

Namun begitu, kata beliau, PAS tetap menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh TV Alhijrah atas keterlanjuran tersebut.

“Kegagalan melakukan permohonan maaf ini boleh menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil bagi mengekang tingkah laku labelan ekstrim dengan menggunakan aset kerajaan dapat dikekang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -