Kehidupan rakyat stabil apabila ekonomi diurus secara bijaksana

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengurusan ekonomi secara bijaksana akan dapat menstabilkan kehidupan rakyat.

- Advertisement -

Justeru, menurutnya, baitul mal yang diurus tadbir dengan penuh kejujuran tanpa ada sekelumit kepentingan diri dan keluarga akan menatijahkan pembangunan ekonomi masyarakat.

Katanya, itulah sebahagian daripada contoh yang perlu diambil iktibar dan dikaji oleh umat Islam khasnya dan seluruh masyarakat amnya betapa Islam menitikberatkan prinsip keadilan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, keadilan hanya dapat ditegakkan oleh sistem yang adil.

Menurutnya lagi, hanya Islam sahaja mampu berlaku adil jika ajarannya diamalkan sepenuhnya oleh para pemimpin politik termasuk melaksanakan undang-undang yang mempunyai roh dan sistem kehakiman yang telus.

“Semua ini menzahirkan kesyumulan Islam dan keindahannya dalam menjamin kesejahteraan sosial masyarakat yang telah terbukti pada zaman Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga zaman pemerintahan Islam selepas itu.

“Bahkan terbukti di dalam sejarah Islam, terdapat golongan bukan Islam yang ingin dihakimi mengikut undang-undang Islam kerana yakin ianya lebih adil,” ujarnya pada Majlis Perasmian Serentak Muktamar Tahunan Dewan-dewan PAS Negeri Sabah, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan, Ketua Dewan Ulamak negeri, Ustaz Azman Jupri, Ketua Pemuda, Hendri Hamsah, Ketua Muslimat, Norsah Bongsu dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS, Satail Majungkat.

Menariknya dalam majlis tersebut, Anugerah Ikon Perpaduan Nasional diberikan kepada ahli DHPP negeri, Isaac Wong Kah Kiet. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -