‘Skim Takaful Padi’: Kerajaan umum, tapi mana?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Skim Takaful Padi’ telah diumumkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun sehingga kini masih belum dilancarkan menyebabkan timbul tanda tanya.

Zakri Hassan (PN- Kangar) berkata, sebelum ini kerajaan ada mencadangkan bahawa ‘Skim Takaful Padi’ akan dilancarkan setahun yang lalu, tetapi hingga kini skim tersebut masih belum berjalan.

- Advertisement -

“Jadi adakah skim ini sekadar cadangan atau adakah ia merupakan satu perancangan daripada Kementerian Pertanian?” ujarnya ketika mencelah Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) dalam soalan kada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat pagi ini.

Zakri turut bertanya mengenai ladang benih padi yang dikatakan bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan dan ketidakstabilan harga benih padi.

“Adakah ladang benih padi yang dicadangkan terutamanya di kawasan PPK Bintong, Kangar, Perlis dapat membantu petani dan apakah jaminan bahawa pesawah akan mendapat manfaat daripada benih padi ini?” soalnya.

Beliau bertanyakan perkara ini semasa memberikan soalan tambahan kedua kepada soalan jawab lisan Datuk Siti Aminah yang meminta dinyatakan usaha kementerian dalam memastikan bekalan beras mencukupi di negeri Sabah.

Timbalan Menteri, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam jawapannya berkata, skim itu adalah antara satu projek rintis daripada kementerian untuk membantu para pesawah menerima ganti rugi.

“Atau pampasan setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit. Ini masih dalam perancangan dan kita jangka akan dilancarkan pada 1 April tahun ini,” ujarnya.

Namun bagi soalan berkaitan dengan ladang benih padi Timbalan Menteri akan menjawab secara bertulis. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -